Wadah Pencerdasan Umat (WPU): Perancangan Strategik Menghadapi Perubahan

Print PDF

Dengan demikian berlawanan dengan wisdom Heraclitus tersebut, nasib sesuatu kaum boleh secara keseluruhannya tidak mengalami apa-apa perubahan, kecuali didahului perubahan yang berlaku dalam diri mereka sendiri, seperti mana firman Allah swt.:

إنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُ ما بِقَومٍ حَتَّى يُغَيروا مَا بِأنْفُسِهِم
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum
sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri .

Oleh kerana tindak balas manusia yang perlahan terhadap fenomena perubahan yang terjadi, maka sering berlaku untuk tempoh tertentu, manusia menjadi ‘mangsa’ kepada elemen buruk yang dikendong fenomena-fenomena tersebut. Sehingga masalah segera dikenalpasti dan strategi tertentu dilaksanakan, maka untuk suatu tempoh tertentu, serangan budaya permisif Barat (sebagai contoh) akan mengorbankan sejumlah besar generasi muda yang berpotensi. Walau bagaimanapun, sekiranya perubahan-perubahan yang berlaku cepat dibaca dan dikenalpasti, strategi yang konkrit dapat dirumus dan tindakan dapat diambil secara berkesan, kita bukan sahaja dapat mengecilkan kesan negatif dari perubahan yang terjadi, mengelak dari menjadi mangsa perubahan (victim of change) bahkan dapat pula mengubahnya menjadi peluang yang menguntungkan.


Gerakan dan Perubahan Persekitaran

Gerakan Islam di Malaysia mendapat reaksi positif yang cukup mengagumkan di permulaan sejarahnya iaitu di awal tahun-tahun 70an dan 80an. Fenomena sejagat ‘Islamic resurgence’ memberi semangat, kesedaran dan keyakinan baru kepada masyarakat terutama generasi muda. Pemerintah yang kaget dengan fenomena baru ini, akhirnya terpaksa mengubahsuai pendekatan dengan mengambil sikap akomodatif melayani kehendak dan keinginan masyarakat yang mahu supaya kehidupan bermasyarakat dan negara dibangun berasaskan prinsip-prinsip Islam.

Pelopor gerakan kesedaran baru Islam yang menyubur di tahun-tahun 70an dan awal tahun 80an ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang muncul sebagai sebuah organisasi utama penampung harapan dan perjuangan generasi muda yang serious; sebuah gerakan yang dipimpin oleh kepemimpinan muda, bergerak berasaskan cita rasa anak-anak muda, dengan pendekatan perjuangan dan kepemudaan. Secara aktif dan berani, ABIM telah memainkan peranan utama (leading role) dalam mengetengahkan isu-isu umat termasuk mengenai kemiskinan, rasuah, nepotisme, pembaziran dan isu-isu antarabangsa seperti penindasan ke atas umat Islam. Masyarakat merasai kedekatan dan relevancy ABIM dengan mereka.

Bagaimanapun, sejak tahun 1974 hingga kini, persekitaran dakwah dan suasana pergerakan telah banyak mengalami perubahan. Peristiwa-peristiwa penting bersifat politik antaranya ialah pertama: pertukaran kepemimpinan negara dari Tun Hussein Oon kepada Dr. Mahathir dan kini kepada Abdullah Ahmad Badawi yang turut mengubah pendekatan pemerintah terhadap isu-isu Islam dan gerakan Islam, kedua: penyertaan Anwar Ibrahim dalam politik pemerintah pada tahun 1982 dan pemecatannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada tahun 1998, ketiga: pilihanraya kebangsaan yang memberi kesan kemenangan dan kekalahan UMNO dan PAS terutama Pilihanraya 1999 dan 2004. Dunia dakwah sendiri ditandai oleh beberapa perubahan seperti pertama: kemunculan beberapa badan lain yang membentuk pergerakannya sebagaimana ABIM dan dengan demikian menjadi ‘saingan’ di medan dakwah, kedua: kemunculan pelbagai institusi baru atas nama Islam, terutama yang ditaja oleh pemerintah, yang turut memainkan peranan penting membentuk kesedaran baru terhadap Islam, ketiga: berlaku peralihan generasi (generational shifts ) dalam kepemimpinan dakwah dari generasi pertama kepada generasi kedua, ketiga: perganjakan fokus dakwah dari fokus tunggal kepada pelbagai fokus (multiple focuses); dari khutbah kepada pelbagai institusi dan program menyelesaikan masalah (from preaching to problem solving). Sementara di peringkat antara bangsa, Peristiwa 11 September 2001, memberi impak yang besar ke atas persekitaran dakwah dan suasana pergerakan Islam, dalam maupun luar negara. Semua peristiwa dan perkembangan yang berlaku ini saling berinteraksi bagi membentuk sikap dan pendekatan gerakan yang, dalam beberapa hal, berganjak dari keadaan masa lalu.

Fokus gerakan masa lalu adalah bersifat ke luar (outward) dengan mengetengahkan secara agresif isu-isu sosial, politik, ekonomi dan antara bangsa yang seringkali mengundang ‘kemarahan’ pihak berkuasa. Bagaimanapun keadaan sekarang mendesak kita mengalih perhatian yang lebih kepada isu-isu dalaman (inward) yang bersifat administratif. Hal ini terjadi ekoran berbagai program berstruktur yang dianjurkan (dalam negara maupun luar negara) dan berbagai institusi yang telah ditubuhkan. Program-program seperti ini tidak banyak menyinggung kepentingan pemerintah, bahkan dalam banyak keadaan, secara tidak langsung membantu menjayakan sebahagian dari agenda mereka (sehingga turut mendapat bantuan dari mereka).

Pergerakan masa lalu dilihat lebih bercirikan aktivisme (activism) dengan usaha-usaha yang aktif bagi mendidik umat (educating the masses) dan membangun kesedaran mereka (social awareness) serta mempengaruhi dasar-dasar pemerintah (policy advocacy) . Tetapi sebahagian besar gerak kerja masa kini adalah bersifat routine, day-to-day yang melibatkan usaha memenuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan. Demi menjaga kepentingan institusi-institusi yang telah dibangunkan (dengan penat lelah), serta memelihara kepentingan ‘para pelanggan’ yang berhubungan dengannya maka para pemimpinnya terpaksa memperkira pelbagai aspek sebelum sesuatu tindakan diambil. Seringkali ‘balancing act’ ini disalah anggap sebagai ‘mengikut telunjuk’ (toe the line) pihak berkuasa.


Perbezaan Generasi

Langkah berhati-hati (calculative) sebelum sesuatu tindakan diambil, sering kali dilihat sebagai satu kelemahan. Tetapi sikap demikian telah menjadi ciri yang selalunya wujud beriringan dengan meningkatnya usia tua seseorang. Sikap seperti itu adalah mudah difahami. Seseorang yang melangkah ke usia tua membawa bersamanya berbagai pengalaman yang pernah ditempohnya. Dia dianggap mempunyai keupayaan melihat sesuatu persoalan dari perspektif yang berbagai; mempunyai rasa pertanggungjawaban yang tinggi, lebih sedar tentang kepentingan-kepentingan yang harus dipertahankan, lebih memahami tentang berbagai risiko yang akan dihadapi. Ini menjadikan seseorang yang meningkat tua menjadi lebih “berkira-kira”, cermat dan berhati-hati dalam sebarang tindakan. Berlawanan dengan orang muda yang seringkali inginkan sesuatu terlaksana secara pantas dan cepat serta menginginkan hasil yang segera, maka sikap berhati-hati dan percubaan melayani kehendak ramai orang dilihat suatu kelemahan.

Dalam keadaan yang lain, generasi tua mungkin menganggap pendekatan yang terbukti berkesan di zamannya sebagai pendekatan yang sah dan sesuai dipakai sepanjang zaman. Mereka menganggap kita hari ini boleh mengulangi kejayaan dan kegemilangan masa lalu dengan menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama. Generasi baru yang terdiri dari anak-anak muda dengan ‘ego tersendiri’ merasai perlu diberi kebebasan untuk memilih jalan-jalan sendiri yang mungkin lebih baik. Keadaan-keadaan seperti ini akan mencetuskan konflik pemikiran antara generasi yang kadangkala nyata, namun seringkali dipendamkan. Ini tentunya akan memberi kesan-kesan negatif alam jangka panjang.

Walaupun keadaan-keadaan yang demikian tidak sampai mewujudkan jurang generasi (generation gap) seperti yang sering dibimbangi, namun perbedaan-perbedaan tersebut tetap mencipta sekurang-kurangnya perbezaan-perbezaan generasi (generational differences) yang kiranya tidak ditangani secara rasional, pasti akan membawa kepada konflik yang menggugat keutuhan organisasi.


Wadah Pencerdasan Umat (WPU): Langkah Strategik


Perubahan-perubahan yang berlaku kepada persekitaran serta perbezaan-perbezaan generasi menegaskan kepada kita tentang beberapa aliran dalam gerakan, yang perlu ditangani segera. Pertama: proses peralihan kepemimpinan gerakan sedang berlaku, bagaimanapun kerana wujudnya perbezaan-perbezaan generasi serta kelemahan dalam perancangan peralihan kepemimpinan, proses tersebut tidak berlaku secara lancar. Kedua: bertambahnya jumlah tenaga-pasca-gerakan-belia (TPGB) yang memiliki kebolehan dan kepakaran serta pengalaman yang tidak dimanfaat secara efektif. Ketiga: meningkatnya desakan bagi melebarkan dakwah dengan berhikmah menerusi berbagai wadah dan pendekatan, lebih dari masa-masa yang lalu, sebagai natijah dari kesan globalisasi, serangan budaya luar, Peristiwa 11 September, serta kemunculan ‘kepemimpinan baru’ negara. Keempat: hubungan generasi kepemimpinan masa lalu dengan kepemimpinan generasi baru semakin merenggang ekoran tiadanya ruang dan wadah yang membolehkan mereka bertemu dan berinteraksi. Keadaan ini akan hanya melemahkan gerakan dan dan umat keseluruhannya .

Penubuhan (WPU) sebagai sebuah wadah baru, adalah suatu langkah strategik bagi menangani perubahan-perubahan besar yang sedang berlaku dan bagi mewujudkan suasana gerakan yang lebih merangsangkan. Pertama: akan membuka laluan kepada TPGB untuk ‘segera keluar’ dan memberi ruang kepada kemunculan kepemimpinan baru. Ini akan memberi peluang untuk ABIM ‘membina kembali’ dinamisme gerakannya melalui elemen dinamik yang ada pada kepemimpinan muda, tanpa ‘gangguan’ dari generasi tua. Proses pematangan kepemimpinan muda akan berlaku lebih cepat apabila mereka berdepan secara langsung dengan masalah dan cabaran yang ada. Kedua: WPU akan mengambil tanggungjawab mengawasi perjalanan institusi-institusi yang ada serta memikul sebahagian dari kerenah administratifnya. Langkah ini akan membebaskan kepemimpinan muda gerakan dari diganggu dengan persoalan pengurusan yang membebankan, sebaliknya mereka dapat menumpukan perhatian lebih banyak kepada aspek aktivisme (activism), menimbulkan kesedaran masyarakat (creating social awareness), mendidik umat (educating the masses) serta memainkan peranan dalam advokasi polisi (policy advocacy). Ketiga: WPU akan berperanan mengisi ruang gerak kerja dakwah yang lebih spesifik tetapi selama ini tidak terjangkau, terutama ruang dakwah yang memerlukan jaringan hubungan yang lebih tinggi atau ruang dakwah yang menuntut daya intelektual serta kebijaksanaan yang lebih mantap. Ini akan membantu memperluaskan kesedaran dan dakwah hingga menggenapi ke sudut-sudut yang selama ini belum diberi perhatian. Keempat: Pengemblengan TPGB dalam WPU membolehkan aset keintelektualan mereka dimanfaatkan dengan cara yang lebih baik menerusi gerakan pendidikan dan keintelektualan yang bersesuaian. Demikian juga jaringan hubungan (networking) yang mereka miliki serta pengalaman yang telah terkumpul sejak sekian lama, pasti memberi banyak faedah dalam menjayakan cita-cita dakwah. Kelebihan-kelebihan ini akan terpendam begitu sahaja dan menjadi tidak produktif sekiranya tidak digerakkan. Kelima: WPU boleh menjadi ‘orang tua’ tempat mengadu, ‘mursyid’ tempat rujukan atau ‘anjung’ tempat percakapan antara generasi (intergenerational conversation) , yang membolehkan pengalaman, ilmu dan kebijaksanaan diwarisi dan dipindahkan dari generasi ke generasi.


Epilog

Persiapan perlu dibuat bagi menghadapi perubahan yang pesat terjadi. Strategi baru yang berasaskan hikmah perlu dirumus bagi memenangi perubahan terutama dalam dunia yang semakin ganas (hostile) terhadap Islam dan umatnya. Kita harus berusaha untuk menguasai perubahan-perubahan yang terjadi dan bukan menjadi mangsanya (to become master of change not its victim). Marilah kita hadapi cabaran-cabaran baru ini dengan kesedaran yang penuh (with full alertness) dan keberanian (courage) yang tergambar dalam perancangan dan tindakan-tindakan kita. Jangan kita dilihat jaga tetapi sebenarnya tidur.

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُوْدٌ
Dan kamu mengira mereka itu jaga, padahal mereka tidur.


Sekian.