Teks Amanat Pimpinan 2010 (updated 21 Ogos 2010)

Print PDF

 

Syari`at:  Semangat dan Matlamatnya

Komitmen kita untuk mendaulatkan syari`at, tidak hanya sekadar melaksanakan hukum-hakamnya,  tetapi lebih daripada itu harus meliputi pencapaian objektif dan matlamat hakikinya yang terungkap dalam istilah maqasid al-shari`ah.     Esensi maqasid al-shari`ah sebenarnya tidak lain adalah maslahah yang dapat diertikan sebagai menyejahterakan  umat dengan manfaat, dan menyelamatkan mereka dari mudarat.  Memang tujuan syari`at adalah untuk   menyelamatkan,  membahagiakan  dan memberdayakan   umat manusia sehingga mampu melaksanakan amanah istikhlaf atau misi kekhalifahan.  Maqasid al-shari`ah sebagaimana yang dirumuskan oleh al-Ghazaliy adalah untuk memelihara al-din (agama), al-nafs (jiwa),  al-`aql (akal), al-nasl (keturunan)  dan al-mal (harta).   Demikianlah lima komponen maqasid yang selalu disebut sebagai al-daruriyyat al-khamsa, al-kulliyyat al-khamsa dan al-usul al-khamsah.   Andainya kelima-lima objektif tersebut tidak  tercapai,  bererti  kita pada hakikatnya tidak melaksanakan  esensi syari`at,    tetapi yang kita laksanakan hanya kerangkanya yang kering dan tidak substantif.  Ternyata kelima-lima komponen maqasid tersebut adalah  suatu set prinsip yang tidak boleh dikompromikan.  Justeru, ia adalah soal hidup-mati sehingga kita dituntut mempertaruhkan nyawa demi mempertahankannya.  Itulah mesej tersirat hadith nabawi yang menyebut syahidnya mereka yang mati  kerananya:

 

من قتل دون دينه فهو شهيد، ومن قتل دون دمه فهو شهيد، ومن قتل دون ماله فهو شهيد،

(ومن قتل دون أهله فهوشهيد.                     (رواه أصحاب السنن وصححه الترمذي

Gerakan Dakwah dan Maqasid al-Shari`ah

Peri pentingnya maqasid dijelaskan oleh Imam al-Maqasid Abu Ishaq al-Shatibiy bahawa ia adalah arwah al-a`mal (ruh bagi segala amal).    Ertinya,  bersyari`at tanpa maqasid samalah dengan  beragama tanpa ruh.  Sebagai kaum da`i yang ingin mendakwahkan Islam secara utuh,  yang  memaknai syari`at sebagai wahana pencapaian hayatan tayyibah (kehidupan berkualiti), dan yang komited untuk mengangkat fiqh sebagai ilmu yang dinamik dan kemaskini,  kita sama sekali tidak boleh mengabaikan maqasid. Seperti yang dinyatakan oleh al-Shaykh Ibn `Ashur bahawa pengabaian terhadap maqasid al-shari`ah termasuk antara faktor kebekuan fiqh (Al-Raysuniy, Ahmad, 2010: 14-15).   Dan membekunya fiqh adalah malapetaka besar bagi umat yang menghadapi masalah-masalah yang sentiasa berubah dan berkembang.  Kehilangan maqasid akan memandulkan fiqh dan menumpulkan kompetensinya menyelesaikan masalah umat.  Akibatnya nanti mereka akan mencari jawapan di luar syari`at.

Gerakan dakwah memang tidak dapat mengelak dari persoalan maqasid. Justeru, maqasid al-shari`ah adalah juga  maqasid al-da`wah.  Perjuangan para anbiya' dan mursalin sepanjang sejarah adalah untuk melaksanakan hal-hal yang terliput dalam istilah inklusif maqasid al-shari`ah. Para da`i harus dapat menepati pesan dakwah `ala basirah (surah Yusuf: 108),  iaitu dakwah berasaskan keyakinan ilmu. Untuk itu mereka perlu memahami serba-serbi tentang agama, termasuk maqasidnya.  Para da`i juga harus dapat menepati  pesan dakwah bi 'l-hikmah, dan untuk itu mereka harus memahami sedalam mungkin  makna yang terliput dalam kata hikmah, termasuk hikmah di sebalik hukum-hakam syari`at.  Dan semuanya itu sebenarnya  tidak lain adalah maqasid al-shari`ah dalam erti luas, tidak hanya lima kulliyat yang berkaitan dengan keperluan asasi individu,  tetapi meliputi juga maqasid al-shari`ah yang berkaitan dengan keperluan asasi umat secara kolektif (al-maqasid al-`ammah).    Ternyata  para da`i memang perlu memahami dan menghayati pemikiran maqasidiy, iaitu pemikiran yang memberikan perhatian  kepada segala yang berkaitan dengan maqasid,  berpegang dengan kaedah-kaedahnya, dan berusaha mendapatkan hasil faedahnya:

فالفكرالمقاصدى هوالفكرالمتبصربالمقاصد،المعتمدعلي قواعدها المستثمرلفوائدها.

 

Demikianlah pemikiran al-maqasidiy menurut al-Raysuniy,  ilmuwan masa kini yang menekuni bidang ini.  (Al-Raysuniy, Ahmad, 2009:40).

Keadilan:   Nilai Dasar Maqasid

Antara yang termasuk  dalam kategori maqasid umum   (maqasid al-shari`ah fima yakhussu 'l-ummah) seperti yang disebut oleh Dr. Jamal al-Din `Atiyyah ialah iqamat al-`adl (menegakkan keadilan) dengan liputannya yang serba inklusif, termasuk keadilan kehakiman (al-`adl al-qada'iy), keadilan sosial (al-`adl al-ijtima`iy) dan keadilan antarabangsa (al-`adl al-dawliy).  (`Atiyyah, Jamal al-Din, 2003:158-159).    Memang keadilan adalah prinsip dan nilai teras yang termasuk dalam al-maqasid al-`ammah seperti yang dirumuskan oleh  `Allal 'l-Fasiy bahawa objektif umum syari`at Islam ialah untuk memastikan terimarahnya alam, terwujudnya ketertiban, dan terpeliharanya bumi dari kerosakan.   Objektif tersebut hanya mungkin tercapai dengan kebaikan manusia sebagai pemikul amanah istikhlaf  -- kepatuhan mereka kepada perintah syari`at,  terutama komitmen melaksanakan keadilan.   Ternyata keadilan sebagai objektif utama syari`at adalah asas kehidupan.  Tanpa keadilan tidak akan ada kedamaian dan kesejahteraan.  Dengan demikian, pendaulatan syari`at  hanya dianggap terlaksana  apabila keadilan tegak berdaulat di segenap ranah, termasuk ranah ekonomi.

Ekonomi Berkeadilan dan Semangat Pembebasan

 

Di tengah maraknya wacana tentang ekonomi dunia pasca krisis 2008, dan tentang model ekonomi pasca DEB, kita bangkit menyuarakan model ekonomi yang menepati maqasid al-shari`ah, khususnya objektif iqamat al-`adl (menegakkan keadilan) yang merupakan salah satu tunjang utama maqasid. Dengan semangat itulah kita mengangkat isu Penggagasan Model Ekonomi Berkeadilan sebagai tema seminar ini.  Ekonomi berkeadilan yang kita maksudkan tentunya  bukan sekadar  kitaran semula model ekonomi neo-lib,  tetapi model ekonomi faith-based (didasari iman, disinari wahyu),  ekonomi kerakyatan yang pro-kaum dhu`afa',  ekonomi yang komited kepada dasar pemerataan kuih negara,  ekonomi yang memenuhi dua keperluan pokok:  al-kifayah (kecukupan) dan al-amn (kebebasan dari ketakutan) sebagaimana yang diisyaratkan dalam ayat  3 dan 4 surah Quraysh:

فليعبدوا ربّ هذاالبيت الذى أطعمهم من جوع وآمنهم من خوف.

Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (pemilik)

rumah  ini   (Ka`bah),   yang  telah  memberi  makanan

kepada   mereka    untuk   menghilangkan   lapar   dan

mengamankan mereka dari rasa ketakutan.

 

Dengan latar kegiatan ekonomi perdagangan kaum Quraysh,  ayat tersebut memerintahkan mereka mengabdi Tuhan Pengurnia dua anugerah penting: kemakmuran ekonomi yang memungkinkan mereka hidup kecukupan (bebas dari kemiskinan dan kelaparan),  dan keselamatan yang membebaskan mereka dari ketakutan.  Justeru, yang kita dambakan adalah model ekonomi bersemangat pengabdian dan kebaktian:  mengabdi Tuhan Yang Maha Pengurnia,  dan kebaktian kepada sesama manusia   --  membebaskan mereka dari kemiskinan dan ketakutan.   Demikianlah seperti yang dirumuskan oleh al-Qaradhawiy bahawa objektif umum syari`at ialah untuk mencapai kecukupan dan keamanan,

أنّ تحقيق الكفاية والأمن مقصدعام، وهوما امتن الله به على قريش وأسس عليه أمرهم بعبادته سبحانه.

Berasaskan semangat ayat tersebut kita dapat menyimpulkan bahawa ekonomi syari`at adalah sejenis ekonomi pembebasan.

Pelbagai bencana kemanusiaan yang sedang menimpa dunia ketika ini seharusnya menginsafkan kita semua betapa berertinya ayat-ayat tentang kelaparan (ju`) dan ketakutan (khawf) dalam surah Quraysh tersebut.  Sebagaimana yang dinyatakan oleh David C.Korten, Presiden dan pengasas People-Centered Development Forum dalam bukunya Agenda for a New Economy  -   From Phantom Wealth to Real Wealth,  bahawa kita menghadapi masa depan yang sangat menakutkan.  Justeru, pada  saat ini manusia sedang menempuh jalan  menuju jurang kehancuran diri (self-destruction).  Antara gejala kehancuran yang disebut termasuklah kerosakan yang berlaku kepada iklim dunia,  pencemaran  sungai, kebinasaan sektor perikanan,  kemusnahan (jiwa dan harta-benda) akibat perang hancur-hancuran, keruntuhan sistem kewangan, kepupusan pelbagai spesis, kematian sejumlah tiga puluh ribu kanak-kanak setiap hari akibat kemiskinan dan pelbagai bencana lainnya lagi sehingga beliau membuat kesimpulan,  "We have good reason to fear for our future".  (Korten D.C., 2009: 9-10).  Semua gejala yang menakutkan seperti yang disebutkan itu jelas terkait langsung dengan ekonomi kapitalis yang zalim dan serakah,  sistem yang telah sekian lama berleluasa mengeksploitasi kaum mustad`afin, memiskinkan majoriti besar rakyat, dan menjerumuskan mereka ke dalam jebakan beban hutang yang tidak ada jalan keluarnya kecuali mati.

Memang kapitalisme telah melahirkan ekonomi hutang dan ekonomi riba yang mencekik dan menindas.  Pengalaman pahit ditimpa bencana ekonomi hutang (credit economy) seharusnya menyedarkan kita betapa berertinya do`a harian kaum Muslimin,  do`a memohon perlindungan Tuhan dari dibebani hutang (ghalabat al-dayn) dan dikuasai orang (qahr al-rijal).  Bukankah sudah jelas bahawa  negara-negara dan institusi-institusi ekonomi  yang terseret ke dalam krisis kewangan dunia ketika ini  rata-rata terkait dengan beban hutang?  Sejarah telah memberikan pelajaran yang lebih daripada cukup,  bahawa mereka  yang terbeban dengan hutang akhirnya dikuasai, dieksploitasi dan dibuli oleh kuasa-kuasa kewangan dunia.  Itulah qahr al-rijal yang menjelma dalam pelbagai nama, entah yang namanya Bank Dunia,   IMF atau mungkin yang lain-lainnya.

Di mana-mana syarikat-syarikat gergasi kapitalis yang terbeban hutang selalu dibailout dengan wang rakyat,  tetapi rakyat kecil yang terbelit hutang  siapa yang mahu membantu?  Nasib malang kaum tertindas dan terabai inilah yang diserlahkan oleh Barbara Enrenreich dalam makalahnya The Suicide Solution, bunuh diri sebagai jalan penyelesaian.  Katanya, "Suicide is becoming an increasingly popular response to debt. …  India may be the trendsetter here, with an estimated 150,000 debt-ridden farmers succumbing to suicide since 1997.  With guns in short supply in rural India, the desperate farmers have taken to drinking the pesticides  meant for their crops."  (Heuvel, Katrina vanden, 2009: 207-209).

Ekonomi hutang adalah juga ekonomi riba.   Di satu pihak orang mengaut keuntungan berlipat ganda,  tetapi di pihak lain orang terbeban dengan hutang yang semakin menimbun  hingga akhirnya tak terbayar.  Demikianlah sejak zaman berzaman ekonomi riba  yang  serakah dan  zalim itu  menindas dan memeras korban-korbannya.   Selaras dengan objektif keadilan,  Islam tidak pernah berkompromi dengan ekonomi riba, malah pengharaman riba dideklarasikan dalam nada yang paling keras   --  pengisytiharan perang oleh Allah dan Rasul-Nya terhadap para pelaku riba  (al-Baqarah:278-279).   Ini bererti bahawa riba termasuk dosa besar (al-kaba'ir),  malah paling besar kerana pengharaman dosa-dosa lain tidak dengan  deklarasi perang dari Allah dan Rasulnya.

Model ekonomi berkeadilan  adalah ekonomi bebas riba.    Telah sekian lama kita terdera dalam cengkaman ekonomi riba yang eksploitatif,  zalim dan menindas.  Kali ini rakyat harus memiliki keberanian menolak model ekonomi yang mengekalkan riba dan sisa-sisanya.   Justeru, yang kita perlukan adalah ekonomi pembebasan,  ekonomi kasih-sayang,  ekonomi  empati kemanusiaan; dan lebih daripada itu semua ia adalah ekonomi ke-taqwa-an.  Salah satu ayat pengharaman riba  (Ali `Imran: 130) memang terangkai dengan perintah taqwa (wa 'ttaqu 'Llah),  dan sekaligus terangkai juga dengan kata-kata harapan kejayaan (la`allakum tuflihun).   Ayat tersebut seharusnya disahut dengan keberanian bersikap:   Berjaya Tanpa Riba!

 

 

Prinsip Tawazun (Keseimbangan) dan Ekonomi Berkeadilan

Memang, yang sedang kita dambakan adalah ekonomi model baru yang benar-benar baru,  bukan sekadar wajah baru mazhab ekonomi neoliberal yang telah mencetuskan krisis ekonomi paling buruk selepas Great Depression 1930'an.    Liberalisasi  seperti yang berlaku dalam sistem kapitalisme gaya Amerika bererti keleluasaan kuasa pasar menentukan segala-gala dengan asumsi bahawa pasar adalah waras, rasional,  mampu mendisiplinkan diri dan dapat melakukan koreksi diri (self-correction).   Ternyata pasar bebas itu berpuaka,   tempat bersarangnya pelbagai jembalang nafsu:   tamak,  rakus dan curang.  Liberalisasi  hanya akan menciptakan syurga bagi jerung-jerung kapitalis mengaut untung sebesar-besarnya,  dan menjadikan jurang kaya-miskin semakin melebar.   Yang kita perlukan  bukan liberalisasi,  tetapi tawazun atau  keseimbangan yang merupakan ciri penting ekonomi Islam.    Tawazun dalam konteks ini bermaksud keseimbangan peranan semua pihak yang terlibat: pemerintah, individu dan pasar.   Pakar-pakar ekonomi umumnya sependapat bahawa antara faktor  berlakunya krisis ekonomi hari ini adalah kegagalan negara melaksanakan tanggungjawabnya terhadap institusi-institusi kewangan.   Seperti yang dinyatakan oleh Joseph Stiglitz,  pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 2001 bahawa  kawalan perundangan dan pemantauan pemerintah adalah dua faktor utama yang memungkinkan pasar berfungsi secara sihat dan wajar.   Tanpa dua faktor tersebut  krisis ekonomi akan terus berulang.   Beliau mengatakan lagi bahawa krisis kali ini mengajar kita bahawa pasar yang tidak ditertibkan dengan undang-undang adalah amat berbahaya.  (Al-Qarahdaghiy, 2009: 180).

Ekonomis pemenang Hadiah Nobel  tersebut juga mengatakan bahawa pasar bebas merupakan lahan subur pelbagai bentuk eksploitasi.  Katanya,

Free  market  ideology  turned out  to be  an excuse for  new forms  of

exploitation.     "Privatization"  meant  that foreigners could buy mines

and oil fields in  developing countries at low prices.  It also meant they

could   reap  large   profits   from   monopolies  and  quasi-monopolies,

such   as  in   telecommunications.        "Financial  and   capital   market

liberalization"  meant that foreign  banks could get high on their loans,

and  when loans went bad,    the IMF forced socialization of the losses,

meaning that  the  screws were put on  entire populations  to  pay  the

the foreign banks back.     Then,  at least  after the 1997 crisis, some of

the same foreign banks made  further  profits in the  fire sales that the

IMF   forced  on  the  countries  that  needed   their money.         Trade

liberalization  meant,   too,  that foreign firms could wipe out  nascent

industries, suppressing the development of entrepreneurial talent.

(Stiglitz, Joseph, 2010: 221)

 

 

 

Ekonomi Berkeadilan Demi Martabat Keinsanan

 

Model ekonomi yang memenuhi kriteria keadilan dan menepati  maqasid al-shari`ah memerlukan perubahan yang mendasar terutama dari segi persepsi terhadap hakikat insan,   yang bukan sekadar homo economicus yang materialistik, tamak dan mementingkan diri.     Manusia adalah makhluk yang dimuliakan dengan al-nafkhu 'l-Ilahiy, hembusan ketuhanan yang melayakkannya memikul amanah istikhlaf --   menjadi wakil Tuhan di bumi dengan misi pengimarahan dan pengislahan.   Selain itu ia juga melibatkan perubahan persepsi terhadap alam dan segala khazanah kekayaannya sebagai amanah Tuhan untuk dimanfaatkan secara yang benar,  menepati prinsip dan nilai samawi.

Sesungguhnya kita memerlukan model ekonomi  yang didasari semangat memelihara ketinggian martabat dan maruah kemanusiaan,  di samping semangat memelihara amanah memakmurkan bumi.  Untuk itulah perlunya penggagasan model ekonomi maqasidiy demi mencapai kualiti hidup hayatan tayyibah berasaskan iman dan `amal salih. Ini bererti ia adalah  model ekonomi yang faith-based dan value-based (berasaskan prinsip-prinsip ketuhanan dan nilai-nilai kudus keagamaan).  Dan kerana itu pula ia harus berteraskan  prinsip dan nilai keadilan.  Justeru, keadilan adalah esensi ajaran semua agama,  khususnya agama-agama samawi sebagaimana yang terumus dalam ayat 25 surah al-Hadid,

لقدأرسلنارسلنابالبيّنات وأنزلنامعهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط، ...

Sungguh,  Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan

bukti-bukti nyata dan  Kami Turunkan bersama bersama

mereka kitab dan neraca (keadilan)  agar manusia dapat

berlaku adil.   …

 

Prinsip dan nilai keagamaan adalah  al-mizan, ukuran dan neraca pengimbang bagi menegakkan al-qist, yakni  keadilan.  Prinsip dan nilai inilah yang harus diterjemahkan secara nyata dalam segala bidang  kehidupan, termasuk bidang ekonomi.   Keadilan dengan erti "memberikan hak kepada yang berhak"  harus menjadi dasar dan amalan dalam pemilikan dan pengagihan kekayaan.  Keadilan juga harus mendasari segala perundingan dan perjanjian demi mencapai kesepakatan  `an taradin (saling merelakan) untuk  menang bersama (win-win),  bukan hanya mahu menang sendiri.   Ekonomi berkeadilan jelas berimplikasi penolakan terhadap  kapitalisme kroni yang diskriminatif dan pandang bulu   --  merampas hak mereka yang berhak,  lalu mengurniakannya kepada yang tidak berhak.  Selama ini kita telah sama-sama merasakan bahana crony capitalism yang memperkaya  segelintir kapitalis kroni,  dan melemparkan majoriti besar rakyat ke jurang kemiskinan. Ramai yang sekarang baru mengaku bahawa dasar ekonomi tersebut telah memperluas jurang kaya-miskin,  lalu yang kaya bertambah kaya, yang miskin semakin papa.   Banyak sekali terjadi manipulasi dalam pengurusan ekonomi, dan banyak sekali syarat-syarat yang tidak bertulis sehingga akhirnya yang kenyang hanya kaum kroni,  sedang rakyat hanya didendangkan dengan dongeng prestasi ekonomi.

Model ekonomi maqasidi bukan jenis ekonomi yang berorientasi pemaksimaan keuntungan,  tetapi lebih disemangati objektif memenuhi  keperluan rakyat dengan segala pentahapannya:  daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyatnya.  Demikianlah ciri asasi ekonomi kerakyatan yang kental dengan nilai-nilai kasih-sayang kemanusiaan.  Memang ekonomi kerakyatan adalah jelmaan nyata idealisme pemerataan dan penyejagatan rahmat (rahmatan li al-`alamin).  Pembelaan terhadap kaum mustad`afin (golongan yang lemah atau yang dilemahkan) dalam konteks ekonomi kerakyatan jelas tidak sama dengan sumbangan  lip-service para usahawan kapitalis.  Konsep infaq fi sabili 'Llah dan amal jariah dalam konteks ekonomi kerakyatan yang Islami mengandung semangat yang jauh lebih manusiawi, dan  motif yang jauh lebih murni  --   demi mencapai matlamat sakral, ridha Ilahi.  Tanpa menafikan adanya kebaikan pada sumbangan kemanusiaan yang kini memakai pelbagai nama:  CSR (Corporate Social Responsibility), Creative Capitalism, Philanthrocapitalism dan Social Business,  namun semuanya itu masih dalam kerangka pemikiran dan semangat kapitalisme  yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding tanggungjawab kemanusiaan.  Jumlah peruntukan untuk khidmat masyarakat rata-rata masih terlalu kecil berbanding jumlah keuntungan yang dikaut.  Malah ramai yang menafsirkan bahawa khidmat kemasyarakatan badan-badan korporat itu pada hakikatnya adalah bahagian daripada strategi bisnes mereka.    Sementara itu tidak sedikit pula yang beranggapan  bahawa ia adalah usaha terdesak kaum kapitalis untuk menyelamatkan diri  setelah melakukan "dosa besar" menjerumuskan dunia ke jurang krisis ekonomi terparah sejak 1930'an.  Kapitalisme tampaknya masih bernafsu untuk bangkit dan tampil kembali dengan sedikit modifikasi kosmetik.  Seharusnya kapitalisme sudah lama kita talkinkan.  Sekarang adalah masa menggagas model ekonomi alternatif yang berkeadilan dan berperikemanusiaan.  Anggapan bahawa  kapitalisme adalah pilihan  terakhir yang sudah muktamad, dan itulah  the end of history sebenarnya tidak lebih dari mimpi siang hari seorang Fukuyama.

 

Krisis Ekonomi dan Isu Moral Deficit

Di sebalik kegawatan ekonomi  sebenarnya ada krisis lain yang lebih mendasar.   Yang sedang terjadi bukan hanya krisis kewangan, tetapi yang lebih serius adalah krisis kemanusiaan.  Di mana-mana orang berbicara tentang fiscal deficit, tetapi tidak ramai yang berbicara tentang moral deficit, walhal itulah salah satu punca utama bencana yang menimpa.   Sektor ekonomi seakan telah kehilangan etika.  Entah apa yang telah terjadi kepada business ethics yang diajarkan di sekolah-sekolah bisnes selama ini.  Yang jelas, pelbagai amalan tidak bermoral begitu berleluasa:  rasuah, penipuan, keserakahan, penindasan, pemerasan, pembolotan dan bedebah-bedebah lainnya lagi yang mengesankan seolah-olah moral bukan urusan ekonomi.  Bujur lalu melintang patah,  yang penting jangan sampai tertangkap.  Tidak sedikit kalangan pemimpin institusi ekonomi yang hanya mementingkan diri dan lari dari tanggunggungjawab.   Ketika mendapat untung besar mereka mendakwa ia adalah hasil usaha mereka,  tetapi ketika mengalami rugi besar mereka berdalih ia adalah akibat faktor-faktor di luar kawalan mereka.  Sudahnya, yang selalu menjadi mangsa adalah pelanggan-pelanggan, orang awam.       Masalah moral deficit inilah yang harus segera ditangani secara serius.  Sebaik mana pun model ekonomi yang digagaskan,  tidak akan ada gunanya jika rasuah, penipuan, kecurangan  dan penyakit-penyakit moral lainnya terus berleluasa,  membarah dan membudaya.

Ekonomi tidak hanya tentang wang dan saham, gedung dan gudang,  projek dan kontrak;  tetapi ia juga amat terkait dengan integriti dan  reputasi.    Dalam kaitan ini Malaysia sebagai suatu  jenama sungguh amat memprihatinkan.      Akhbar The Star 4 Feb 2010  menyiarkan  makalah pendek  Dennis Ignatius  tentang Brand Malaysia.   Dalam ruangan Diplomatically Speaking beliau membicarakan isu apa ada pada jenama, "A brand name is more than an image; it is the essence of what a brand represents."   Yang jelas memang ada suatu yang sangat bermakna di sebalik jenama,  suatu yang sangat mahal, dan kerana itu negara-negara dan syarikat-syarikat rata-rata menjaga jenama mereka dengan penuh rasa cemburu. Sayangnya kata beliau kita tidak bersungguh-sungguh mempertahankan citra jenama kita.  Beliau lalu menyebut sejumlah aib yang mencemarkan citra Malaysia di mata dunia, "Over the the years, scandal, corruption and mismanagement, as well as misguided policies, have seriously left brand Malaysia reeling from a thousand cuts.   The Kugan case, the death in custody of Teoh Beng Hock and other high profile cases brought us a great deal of unsavoury international attention.  This, together with equally sensational scandals involving our judiciary, seems to convey the view that our whole justice system is in crisis.  As well, the massive PKFZ fiasco, the brazen theft of RMAF jet engines and other outrageous public sector corruption scandals have convinced many foreign observers  and businessmen that corruption is now out of hand in Malaysia."

Memang cukup beralasan apabila rasuah di Malaysia dianggap telah sampai ke tahap yang sangat parah,  "It is not for no reason that Transparency International recently gave Malaysia its worst corruption ranking ever.",   lalu beliau bertanya, "Are we now destined to become a chronically corrupt state?".   Mengenai politik Malaysia pula  Dennis Ignatius  menyebut tentang berterusannya amalan kejam penahanan tanpa bicara dan kekangan terhadap hak-hak kebebasan asasi yang sudah pasti menjejaskan credentials demokrasi kita di mata dunia.  Selain itu beliau juga menyerlahkan isu penghijrahan 300,000 rakyat  Malaysia  pada  tahun 2008/09  untuk mencari penghidupan yang lebih baik di luar negara,  "What does it say to the rest of the world about brand Malaysia when many, including some of our best and brightest, are leaving?".   Beliau menyimpulkan,  "It is clear to those of us who closely monitor Malaysia's image abroad that brand Malaysia is in trouble.  One commentator even went so far as to call us a  'failed rich state!'  It is nonsense of course, but it is a sign of the shifting perception of Malaysia."

Mahu mengakuinya atau tidak,  demikianlah persepsi orang tentang Malaysia.   Dengan reputasi buruk seperti itu pembangunan ekonomi model apa pun tidak akan terlaksana dengan jaya.  Benar kata orang bijaksana,  "losing money is bad, but losing reputation is worse."   Michael Backman,  penulis buku Asia Future Shock   --  Business Crisis and Opportunity in the Coming Years dalam analisisnya tentang Malaysia di bawah judul From Malaysia Boleh to Malaysia Bodoh?, memulakan bicaranya dengan kata,  "Malaysia is in trouble.  It shouldn't be." Kata-kata seperti itu tentunya menyebabkan kita tersentak, dan sekaligus mendorong kita bertanya apa alasannya?  Antara yang beliau sebut ialah cara kita mengurus kekayaan negara,  "Instead of being successful,   too often Malaysia has tried to buy the ornaments of success   --   the world's tallest building, the unnecessarily large international airport, and so on.  But in 2025,  the one commodity that has paid for much of this   --   oil   --   is due to run out."  Selain itu beliau juga menyebut pelbagai aib yang menyebabkan orang tidak berminat melabur di Malaysia.  Antaranya termasuklah  rasuah dan ketidaktelusan.  Tentang ketidaktelusan beliau mengeluh bahawa untuk mendapat gambaran yang jelas tentang apa yang sesungguhnya terjadi dalam dunia korporat di Malaysia adalah suatu yang hampir mustahil,  "…because of the use of endless nominee companies." Untuk menggambarkan bahawa ketidaktelusan itulah citra Malaysia, pembicaraannya tentang isu ini diberinya judul kecil dengan menggunakan kata-kata sinis, "Transparency? No Thank You, We are Malaysian".   Mengenai  keleluasaan rasuah di Malaysia,  Michael Backman menyatakan kekecewaannya terhadap pimpinan atasan negara yang tidak berupaya mengawalnya.    Akibatnya rasuah merajalela menyerap ke seluruh sektor dan institusi,  termasuk  institusi yang menjadi tonggak  sistem undang-undang negara iaitu institusi kepolisan.  Malah  institusi ini dinilai pengidap barah rasuah paling parah.  Dalam tinjauannya,  Transparency International mendapati bahawa masyarakat awam dan kalangan bisnes menilai institusi kepolisan sebagai "Malaysia's most corrupt institution, …". Beliau mengakhiri pemeriannya tentang Malaysia dengan saranan agar Malaysia mengambil tindakan-tindakan korektif,  termasuk  memperbaiki institusi-institusinya,  meningkatkan tahap ketelusannya, dan menghapuskan gangguan-gangguan terhadap kegiatan bisnes terutama rasuah yang disebutnya sebagai,  "…and endless, implied petty demands from government officials for gifts and favors done for nephews, cousins and the like  …".  Banyak yang harus dilakukan oleh Malaysia mengingat bahawa minyaknya akan segera habis dan dengan demikian ia tidak  boleh terus-menerus bergantung kepada pembiayaan Petronas.   (Backman, Michael, 2008: 132-139).

Memang benar,  banyak yang harus dilakukan.  Antara yang paling mendesak ialah usaha memerangi rasuah.  Amalan keji dan kotor ini sebenarnya sangat terkait dengan maruah diri atau dignity yang ditandai oleh sifat tahu malu (sense of shame).  Pelaku rasuah adalah orang yang tidak tahu malu, dan tidak tahu nilai maruah atau harga diri.  Kerana itu ia sanggup menjual murah maruah dirinya.  Harga dirinya hanya senilai sebuah envelope. Kata envelope yang dalam sebutan orang Indonesia "amplop" dipakai oleh kiai-budayawan H.M.Mustofa Bisri sebagai simbol rasuah dalam puisinya yang berjudul DI NEGERI AMPLOP,

Di negeri amplop

Aladin menyembunyikan

Lampu wasiatnya. Malu.

Samson tersipu-sipu

Rambut keramatnya

Ditutupi topi.  Rapi-rapi.

David Coperfield dan Houdini

Bersembunyi.  Rendah diri.

 

(Entah andaikata Nabi Musa

Bersedia datang membawa tongkatnya)

 

Amplop-amplop di negeri amplop

Mengatur dengan teratur

Hal-hal yang tak teratur menjadi teratur

Hal-hal yang teratur menjadi tak teratur

Memutuskan putusan yang tak putus

Membatalkan putusan yang sudah putus

Amplop-amplop menguasai penguasa

Dan mengendalikan orang-orang biasa

Amplop-amplop membeberkan dan menyembunyikan

Mencairkan dan membekukan

Mengganjal dan melicinkan

Orang bicara bisa bisu

Orang mendengar bisa tuli

Orang alim bisa nafsu

Orang sakti bisa mati

 

Di negeri amplop

Amplop-amplop mengamplopi

Apa saja dan siapa saja.

 

Demikianlah betapa berkuasanya "amplop" (wang rasuah) yang serba bisa itu.  Memang apabila rasuah telah mencapai tahap yang sedemikan kronik,  dan tidak ada usaha yang sungguh-sungguh untuk memeranginya,  tidak ada apa-apa lagi yang dapat diharapkan kecuali kehancuran.   Puisi  amplop Kiai Mustofa Bisri  menayangkan wajah hodoh negara yang telah hancur dibaham rasuah,  negara yang benar-benar telah mengalami anjakan paradigma:  dari Ketuhanan Yang Maha Esa menjadi kewangan yang maha berkuasa.

 

Pembudayaan Gaya hidup Sederhana

Langkah korektif lain yang tidak kurang pentingnya ialah pembudayaan gaya hidup sederhana.  Gaya hidup bermewah-mewah yang sudahpun menggejala seharusnya dikawal,  jangan sampai membudaya.  Gaya hidup mewah   --   boros dan membazir adalah punca pelbagai kejahatan sosial, termasuk rasuah.   Yang perlu mengamalkan kesederhanaan bukan hanya rakyat,  tetapi juga pemerintah.  Berjimat cermat harus selamanya menjadi dasar belanjawan negara,  bukan sekadar amalan sewaktu darurat,  ketika ekonomi merudum.     Mulai sekarang tidak harus ada lagi pembaziran  wang rakyat dan pemborosan kekayaan bumi.  Cukuplah sekali ditertawakan dunia kerana mengamalkan dasar ekonomi "biar papa asal bergaya"   --    berbelanja besar membina monumen-monumen megah mega terunggul di dunia,  sedang  rakyat  terus terpuruk dalam kemiskinan dan keterbelakangan.    Ingin "bergaya"  dalam keadaan yang sebenarnya "papa"  adalah manifestasi penyakit rendah diri (inferiority) suatu bangsa.  Selain itu,   projek-projek mewah yang menelan biaya yang begitu besar (dengan menggunakan wang rakyat),  adalah suatu pemborosan dan pembaziran.  Asas pembinaan monumen-monumen mahal seperti itu bukan  perkiraan yang rasional.  Manfaatnya kepada rakyat tidak seberapa,  tetapi tetap dibangunkan juga walau sebesar mana pun biayanya,  semata-mata kerana motif nafsu bermegah-megah.

Andainya kita memang mampu dan kaya raya sekalipun,  ia tetap pembaziran yang tidak dapat dijustifikasikan jika motifnya hanya untuk bermegah-megah.    Mentaliti  "projek mewah sekadar untuk bermegah"  diberikan sorotan dalam al-Qur'an lewat paparan kisah kaum `Ad, umat Nabi Hud (`a.s.).   Isu projek mewah tak berfaedah itulah antara teguran  Nabi Hud  (`a.s.)  terhadap  budaya bermegah-megah di kalangan kaumnya (`Ad),

أتبنون بكل ريع آية تعبثون.

Apakah kamu mendirikan monumen tanpa  fungsi di setiap tanah tinggi?.

 

Ayat 128 surah al-Shu`ara' tersebut menyerlahkan  mentaliti kaum `Ad yang terobsesi dengan perojek bangunan  monumen yang tinggi.  Tetapi monumen mercu tanda tersebut sebenarnya tidak mempunyai sebarang fungsi.  Bagi mereka fungsi tidak penting,  yang penting tinggi!,  dan dapat mengungguli ketinggian yang lain-lain.   Mesej kisah tersebut tidak lain adalah  penolakan tegas terhadap mentaliti dan budaya berlumba-lumba membina landmark, mercu tanda tanpa makna ala kaum `Ad.

 

Pembinaan Budaya Ekonomi

Memang benar,  banyak yang harus dilakukan,     terutama  dalam konteks pemberdayaan ekonomi rakyat.  Antara yang terpenting adalah pembinaan budaya ekonomi (al-thaqafah al-iqtisadiyyah),  termasuk budaya keusahawanan yang sihat dan kuat.  Justeru,  pembangunan ekonomi tidak terbatas hanya pada pembinaan infrastruktur fizikal dan institusi-institusi kewangan.  Yang tidak kurang pentingnya adalah pembinaan the right culture atau budaya yang tepat.  Budaya yang berintikan set nilai yang secukup dan setepatnya pada hakikatnya merupakan invisible infrastructure yang sangat menentukan.  Ada sesuatu yang menarik pada tulisan Daniel J. Isenberg, Profesor pengurusan di Babson College,  tentang How to Start an Entrepreneural Revolution. Makalah yang tersiar dalam Harvard Business Review, isu Jun 2010 itu memberikan sembilan preskripsi pembinaan ekosistem keusahawanan.  Yang beliau maksudkan dengan ekosistem keusahawanan ialah "… a set of individual elements    --   such as leadership, culture, capital markets, and open-minded customers   --   that combine in complex ways."     Unsur-unsur yang membentuk ekosistem tersebut adalah suatu sistem yang holistik, utuh dan padu.  Tanpa tergabung dengan unsur-unsur lain,  sesuatu unsur tidak dapat berdiri sendiri.  Maksudnya, tidak dapat berfungsi.   Kesilapan yang selalu terjadi di mana-mana ialah pemusatan pada satu atau dua unsur tertentu, tetapi mengabaikan yang lain-lain. Kesilapan inilah juga yang berlaku di Malaysia.  Dan yang jelas terabai  adalah unsur budaya.   Dalam kaitan inilah pentingnya peranan pendidikan sebagai agen pembudayaan dalam pembinaan sikap,  minat dan watak keusahawanan yang baik   ---  berilmu, berketrampilan, gigih, jujur, berani,  kreatif dan berwawasan.  Sayangnya sistem persekolahan kita hanya dapat melahirkan generasi yang lemah, tidak mampu  berdikari,  generasi yang meminta-minta (membawa sijil ke sana-sini meminta diberikan pekerjaan).

Selain sektor pendidikan,  media seharusnya dapat memainkan peranan membina budaya keusahawanan yang sihat dan kuat.  Pemaparan kisah-kisah kejayaan usahawan tulen yang berintegriti tinggi  tentunya dapat membangkitkan minat dan semangat keusahawanan.  Sayangnya bahan-bahan seperti itu,  kalaupun ada, selalu tenggelam dalam lambakan bahan-bahan hiburan dan propaganda politik.    Mungkin ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa media kita tidak banyak mendidik, sebaliknya lebih banyak  berperanan sebagai agen pembodohan dan  alat propaganda politik    --    mendedah-dedahkan aib;  memburuk-burukkan orang baik,  dan memuji-muji orang bejat;  membesar-besarkan orang kecil, dan mengecil-ngecilkan orang besar.

 

Membangun  Daya Kreatif Rakyat

Sekali lagi,  memang banyak yang harus dilakukan.  Sekarang bukan lagi zaman muscle economy atau ekonomi tulang empat kerat.  Ekonomi hari ini adalah ekonomi ilmu, ekonomi inovasi dan ekonomi kreativiti.   Ini satu lagi cabaran berat,  dan untuk menanganinya tidak cukup hanya dengan kerja kuat, tetapi juga harus dengan kejujuran dan jiwa besar.    Untuk membina bangsa yang kreatif harus ada kesediaan untuk melakukan perubahan-perubahan sosio-budaya yang mendasar.    Yang pertama harus dilihat ialah sistem pendidikan kita,  sejauh mana keupayaannya membina generasi kreatif.  Sebenarnya sudah lama dan sudah   banyak disuarakan tentang ketidakupayaan  sistem persekolahan kita membina kemampuan berfikir.  Akibatnya sistem yang berorientasi mengingat dan menghafal itu telah menjadikan generasi muda kita rata-rata tidak mampu berfikir secara analitikal, kritis dan kreatif.   Politisasi pendidikan dengan segala macam sekatan dan halangannya telah menciptakan generasi pak turut yang berfikiran tertutup, terbelenggu, sempit dan tumpul.   Institusi pendidikan harus selamanya non-partisan.  Andainya kita jujur mahu membina generasi yang berdaya fikir kreatif-inovatif,  mereka harus dibebaskan dari belenggu politisasi yang melumpuhkan  itu.   Mulai sekarang  pembinaan daya kreativiti harus diangkat menjadi  agenda nasional yang diprioritikan.

Di mana-mana ketika ini orang sedang memprihatinkan   daya kreatif generasi muda,  termasuk di Amerika.  Majalah Newsweek, 19 Julai 2010 mengangkat masalah kreativiti di Amerika sebagai isu utamanya.  The Creativity Crisis    --   For the First Time, Research Shows that American Creativity is Declining.  What Went Wrong     --   and How We Can Fix it. Demikianlah  judul makalah Po Bronson dan Ashley Merryman yang memprihatinkan gejala kemerosotan daya kreatif generasi muda Amerika.  Mungkin tinjauan mereka relevan untuk kita renung, misalnya  beberapa andaian mereka tentang penyebabnya,

It's too early to determine conclusively why U.S. creativity scores

are declining.    One likely culprit is the number of hours kids now

spend  in  front  of  the  TV    and playing  videogames rather than

engaging in creative activities.   Another is  the lack  of  creativity

development in our schools.    In effect,  it's  left to the luck of the

draw  who  becomes   creative:    there's  no  concerted  effort  to

nurture the creativity of all children.

Sementara itu akhbar New Straits Times, 23 Ogos 2005, memuatkan ucapan kenegaraan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang menyeru rakyat republik tersebut menjadi bangsa yang kreatif.  Demi survival,  Hsien Loong mengajak rakyat membina Singapura baru,

It must be a totally different Singapore.  Because if it's the same

Singapore   (as)   today,   we're  dead.    …    We have  to  remake

Singapore     --    our economy,   our education,  our midsets, our

city.

 

Untuk itu mereka diajak belajar dari Las Vegas dan menyerap semangatnya,  "Out of nothing in a desert,  they built a city.  Forty million people visit every year…  We don't want to become Las Vegas, but we should learn from their spirit." Apakah mungkin rakyat pulau tersebut mencapai tahap kreativiti setinggi yang diharapkan oleh pemimpin mereka?  Akhbar tersebut mengulas,  "Such a change could be hard in Singapore,  where critics says tight controls on free speech stifle creativity."   Ulasan tersebut wajar direnung dalam konteks  aspirasi pembinaan bangsa Malaysia yang kreatif dan ekonomi Malaysia yang inovatif.  Dengan segala kekangan terhadap kebebasan bersuara dan hak-hak kebebasan lainnya, bangsa kita akan terus-menerus membeku dan pasif.  Justeru,  kreativiti tidak mungkin berlaku tanpa kebebasan.

Untuk menangani persoalan ini  maqasid al-shari`ah memberikan petunjuk jelas bahawa memelihara akal  (hifz al-`aql)  --  penyihatan dan penyuburannya   --   termasuk dalam al-daruriyyat al-khamsa atau  lima keperluan asasi manusia.  Sebarang gangguan terhadap perkembangan akal,  termasuk daya kreatifnya adalah pencabulan terhadap maqasid al-shari`ah.  Selain itu, dilihat dari perspektif Islam kreativiti adalah salah satu ciri utama keinsanan.  Kerana daya kreatifnyalah makhluk berakal ini layak  mengemban misi kekhalifahan   --   memakmurkan bumi,  membangun dan membudayakannya.   Daya  ibda` atau kreativiti memang sangat dihargai kerana ia adalah bahagian daripada realisasi amanah kekhalifahan.

 

Khatimah

Tampaknya, tidak ada jalan pintas menuju matlamat  ekonomi berkeadilan. Isu ini tidak cukup sekadar diwacanakan,  tetapi harus diperjuangkan.   Keadilan hanya mungkin terlaksana di tengah umat berintegriti.  Memang integriti itu tinggi,   tetapi kekuasaan lebih kuat.  Kerana itu, di mana-mana integriti selalu dikalahkan oleh kekuasaan.  Keadilan juga hanya mungkin terlaksana dalam pemerintahan rule of law. Tetapi di mana-mana  keadilan selalu terkorban apabila the rulers overrule  the rule of law. Betapa pun keadaannya,  kita tidak punya pilihan selain melawan kezaliman kapitalisme.  Rakyat harus diyakinkan bahawa mereka sebenarnya lebih kuat.  Gerakan kerakyatan adalah kekuatan keramat  yang mampu menundukkan keangkuhan kuasa dan kesombongan dana,  when the people lead, the leaders will follow!

الله أكبرولله الحمد

 

Bangi: 7 Ogos 2010

 

 

Senarai Bacaan:

 

Al-Qarahdaghiy,  `Aliy Muhyi al-Din. 2009.  Al-Azmah al-Maliyyah al-`Alamiyyah. Beirut:  Dar al-Basha'ir al-Islamiyyah.

 

Al-Raysuniy, Ahmad et.  al.   2002.  Huquq al-Insan Mihwar Maqasid al-Shari`ah. Al-Duhah: Wizarat al-Awqaf wa al-Shu'un al-Islamiyyah.

 

Al-Raysuniy, Ahmad.  2009.  Al-Fikr al-Maqasidiy:  Qawa`iduhu wa Fawa'iduhu. Al-Mansurah:  Dar al-Kalimah li al-Nashr wa al-Tawzi`.

 

--------------------------    2010.  Madkhal ila Maqasid al-Shari`ah. Al-Qahirah:  Dar al-Salam.

 

`Atiyyah,  Jamal al-Din.  2003.  Nahw Taf`il Maqasid al-Shari`ah. `Amman:  Al-Ma`had al-`Alamiy li al-Fikr al-Islamiy.

 

Backman, Michael.  2008.  Asia Future Shock   --   Business Crisis and opportunity in the Coming Years. New York:  Palgrave Macmillan.

 

Heuvel,  Katrina Vandel.  2009.  Meltdown   --   How Greed and Corruption Shattered Our Financial System and How We Can Recover. New York:  Nation Book.

 

Korten, David C.  2009.  Agenda for a New Economy   --   From Phantom Wealth to Real Wealth. San Francisco: Berrett-Koehler.

 

Lahasasinah,  Ahsan.  2008.  Al-Fiqh al-Maqasidiy `Inda al-Imam al-Shatibiy. Al-Qahirah:  Dar Al-Salam.

 

Stiglitz, Joseph.  2010.  Freefall   --   Free Market and the Sinking of the Global Economy. London:  Allen Lane.