20.Feb.2018

 

14 Februari 2018, KAJANG - Pertemuan mesra di antara pelajar-pelajar Kolej Dar Al-Hikmah (KDH) bersama Presiden KDH, Prof Dato Dr Siddiq Fadzil, CEO KDH, Hj Khailani Jalil, Ahli Jawatankuasa Pusat Infaq Wadah (PIW) dan beberapa orang staf KDH telah diadakan bertempat di bilik seminar, KDH.

Pertemuan ringkas ini diadakan bertujuan bertemu mesra dan berkenalan secara lebih dekat dengan beberapa orang pelajar-pelajar yang dibiayai pengajian mereka oleh PIW. Majlis diakhiri dengan meraikan pelajar- pelajar dengan jamuan tengahari.

Semoga pelajar-pelajar tajaan ini dapat belajar bersungguh-sungguh serta menjadi orang yang bermanfaat untuk keluarga dan agama kelak.

22.Nov.2017

Resolusi Seminar Politik Islam dan Demokrasi

Ijtimak Harakiy 14 Oktober 2017 – IDCC Shah Alam

 

1.0 Pengenalan

Politik Islam tidak sahaja relevan, tetapi terus penting di era kontemporari ini. Impak Arab Spring atau Revolusi Musim Bunga di Timur Tengah di awal dekad lalu menunjukkan sokongan dan harapan terhadap idea dan gerakan politik Islam masih tinggi di kalangan masyarakat. Dalam kebanyakan pilihanraya yang dijalankan di negara-negara Arab di Timur Tengah seperti di Mesir dan Tunisia, sokongan rakyat terhadap perkumpulan politik berorientasikan Islam mendapat sambutan yang menyeluruh dan menyakinkan. Realiti dokongan rakyat terhadap politik Islam di negara kita juga juga serupa. Ini secara langsung telah mematahkan hujah yang dikemukakan oleh sebahagian penganalis yang menanggapi politik Islam di abad baru telah berada di penghujung jalan dan menghadapi kegagalan sebagaimana tesis Oliver Roy; the failure of polital Islam.

Sambutan dan sokongan berterusan terhadap politik Islam tidak terjadi secara segaja melainkan kerana disumbangkan oleh banyak faktor dasar dan strategi penampilannya di tengah gelanggang masyarakat. Antara faktor utama sokongan ini ialah kejelasan prinsip dan idealisme politik yang bersifat utuh dan kekal walau berdepan dengan perubahan zaman. Idealisme politik Islam berpaksikan dasar kebenaran dan keadilan. Berpandukan prinsip ini, wawasan politik Islam ialah membangunkan sebuah nizam atau tatakelola kenegaraan yang mampu dan berupaya menjamin hak-hak masyarakat seterusnya membina potensi mereka secara benar dan adil. Bersandarkan idealisme itu, politik Islam mempraktikan politik amal maaruf nahi mungkar sebagai amalan bagi menterjemahkan prinsip kebenaran dan keadilan dalam tatakelola kenegaraan. Iltizam berterusan politik Islam terhadap idealisme dan amalan ini mendorong aspirasi dan sokongan berterusan rakyat terhadap gerakan politik Islam hingga ke hari ini.

Namun, politik Islam juga hari ini berdepan dengan cabaran getir sejajar dengan perkembangan persekitaran baru zaman. Politik Islam berdepan dengan pengaruh liberalisme yang ekstrim dalam bidang sosial, pemikiran radikalisme dalam wacana kepimpinan dan politik serta penularan politik ketertutupan, perpuakan, asabiyyah dan permusuhan dalam kehidupan masyarakat.

Sejajar dengan itu, di alaf baharu ini, politik Islam hendaklah terus istiqamah dan beriltizam dengan cita-cita membangun politik perubahan. Penekanan utama politik perubahan ialah agenda bagi pembelaan dan pengukuhan dasar keadilan sosial, perpaduan, mendorong politik luhur, memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Penegasan cita-cita politik Islam masa kini juga adalah wawasan membina kesejahteraan ekonomi manusiawi, mengukuhkan dasar perundangan, menjamin keselamatan dan keamanan, melindungi golongan yang lemah dan memangkin penyertaan dan partisipasi menyeluruh masyarakat dalam proses membuat keputusan dalam sebuah sistem tata kelola kenegaraan yang terbuka dan dinamik.

Perkembangan globalisasi telah mengubah persekitaran masyarakat di dunia Islam yang menunjukkan penerimaan terhadap pemikiran dan budaya keterbukaan sejajar dengan realiti kemajmukan. Keterbukaan itu tertonjol menerusi penerimaan sikap terhadap peranan demokrasi sebagai wasilah berkesan bagi menangani cabaran kemajmukan dan memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan dan kebebasan, Pandangan dan sikap positif peranan demokrasi dalam tradisi pemikiran politik Islam boleh diteliti dalam perspektif tokoh ilmuwan Muslim seperti Sheikh Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Rashid Ghanoushi, Sheikh Ahmad Raisuni.

2.0 Resolusi

Oleh yang demikian, Seminar Politik Islam dan Demokrasi yang berlangsung pada 13 Oktober 2017 anjuran ABIM, WADAH dan PKPIM bertempat di IDCC, Shah Alam berpandangan bebeberapa ketetapan berikut hendaklah diperkukuhkan demi memastikan keutuhan politik Islam dalam mendepani cabaran perubahan zaman hari ini:

Pertama: Menyemak fiqh politik Islam masa lalu dari sudut kandungan dan pendekatannya serta tuntutan untuk satu gerakan ilmiah yang bersungguh-sungguh bagi membangunkan fiqh politik baru yang antaranya dipandu oleh fiqh al-taharrur yang dapat memberi kesan dan pengaruh bermakna dalam menterjemahkan cita-cita politik Islam dalam konteks masa kini. Pemikiran dan wacana ilmuwan Islam kontemporari dalam konteks fiqh kenegaraan Islam semasa hendaklah diteliti dan dikupas secara mendalam dalam rangka membangunkan fiqh politik baru demi memenuhi keperluan dan realiti kemajmukan dan keterbukaan masyarakat di zaman kini.

Kedua: Bagi memastikan ketahanan dan keberkesanan politik Islam, satu gerakan pembudayaan demokrasi di kalangan masyarakat hendaklah dijayakan terutama dari segi penghayatan nilai dan prinsipnya yang mesti dipelajari dan dihayati. Perkara ini penting memandangkan nilai dan prinsip demokrasi tidak akan dapat memberi erti dan manafaat sekiranya ia tidak didokong oleh masyarakat yang bersifat demokratis. Oleh kerana itu, gerakan pendidikan kerakyatan tentang demokrasi perlu digerakkan bagi membina rakyat yang memiliki kecerdasan berfikir, kesedaran tentang maruah dan mendorong penglibatan mereka dalam amalan demokrasi secara aktif, proaktif dan matang. Pendidikan demokrasi ini juga melibatkan pemahaman tentang teori, sejarah dan praktik politik hari ini serta fasa-fasa perkembangannya yang unik dan dinamik.

Ketiga: Politik permufakatan hendaklah dibangunkan secara bersama di antara pelbagai gerakan masyarakat sivil dan institusi politik yang beraspirasikan nilai-nilai dan prinsip yang diperjuangkan Islam. Oleh itu, budaya politik label melebel dan ektremisme dalam sikap dan pendirian hendaklah diatasi dan ditangani. Politik pemuafakatan berpandukan cita-cita politik Islam hendaklah menekankan aspek keterbukaan dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kelompok-kelompok non-Muslim dalam suasana yang toleransi, tanpa mengabaikan prinsip-prinsip utama. Aspek kontrak sosial antara pemerintah dan yang diperintah yang menjadi asas dalam amalan demokrasi yang subur akan dapat diperkukuhkan menerusi politik permukafakatan yang matang.

Keempat: Prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban hendak menjadi asas dalam cita-cita perjuangan politik Islam hari ini. Ketelusan boleh mengatasi keburukan dalam pemerintahan seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini memerlukan kepada pembinaan prinsip integriti dan pertanggungjawaban (accountability). Permasalahan yang terjadi dalam tatakelola kenegaraan hari ini antaranya ialah disebabkan prinsip ini diabaikan dan tidak diberi penekanan dalam budaya dan amalan politik semasa.

Kelima: Pembangunan politik Islam pada masa depan memerlukan satu rancangan bagi membangun barisan kepimpinan yang berintegriti dan terlatih. Ketokohan pemimpin politik yang berwibawa boleh memberi kesan bermakna dalam agenda memperkasa politik Islam masa depan. Rancangan melatih barisan politik Islam masa depan hendaklah menjadi agenda dan fokus penting dalam gerakan dan pertubuhan Islam hari ini.

Keenam: Politik Islam perlu menyusun semula keutamaan dalam perjuangan politik Islam. Politk berasaskan perpuakan dan asabiyah adalah unsur negatif dalam pembangunan politik Islam. Politik Islam hendaklah terus mengekalkan hikmah dalam amalan perpolitikannya. Antara keutamaan penting politik Islam hari ini ialah mendorong politik tolerasi dan kasih sayang sejajar dengan semangat rahmatan lil ‘alamin, menpertegaskan idealisme Muslim Demokrat, membebaskan rakyat dari belenggu ketertutupan dan kejumudan fikiran, memperjuangakan kebebasan kehakiman dan memperluaskan pendemokrasian pendidikan. Keutamaan politik Islam ini akan menyumbang kepada pembinaan kesedaran rakyat tentang kemuliaan dan kedaulatan diri serta keyakinan untuk melakukan perubahan.

Ketujuh: Politik Islam hendaklah mendorong kepada cita-cita kebangkitan Islam. Cita-cita perlu disandarkan kepada dasar ilmu yang kukuh antaranya menjadikan ilmu maqasid syar’iyyah sebagai satu sumber pengentahuan politik di era baru. Hal ini memerlukan satu gerakan kebangkitan al-maqasidiah iaitu wacana ilmiah menyeluruh tentang objektif agama dalam konteks masa kini di mana di antara objektif tersebut ialah cita-cita hifz nizam al ummah atau memelihara sistem tatakelola ummah meliputi sistem demokrasi.

 

Sekian.

 

Urusetia Penganjuran,

Seminar Politik Islam dan Demokrasi,

Shah Alam.

14.Nov.2017

Sistem Nilai Islam Dalam Era Pascamoden Dan 4IR

Prof Dato' Dr Yusuf Othman
Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

 

 

 
 
-2:03:49
 
12.Jul.2017

12 Julai 2017, GOMBAK - Alhamdulillah selesai sudah Majlis Jamuan Aidilfitri WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) dan Agensi yang diadakan di Perkarangan Dataran Sekretariat Abim Pusat , Taman Cemerlang, Kuala Lumpur yang bermula pada jam 11:30 pagi sehingga jam 4:00 petang.

Turut hadir ke majlis ini ialah barisan pimpinan Wadah Pencerdasan Umat seperti Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahmanselaku Presiden Wadah serta barisan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Semoga pertemuan di antara rakan-rakan jemaah dengan agensi di majlis yang mulia ini dapat menguatkan lagi hubungan silaturahim agar urusan kerja masa akan datang dapat dipermudahkan bersama izin-Nya Insyaallah.

 

30.May.2016

29 April 2016, Jumaat - Majlis Antarabangsa Jamaah Wadah-ABIM-PKPIM telah merangka satu siri lawatan ke Indonesia bagi mengukuhkan hubungan jaringan dengan gerakan Islam di sana, khususnya Muhammadiyah. Lawatan ini melibatkan pimpinan Jamaah di peringkat pusat dan negeri dengan penyertaan seramai lebih kurang 40 orang. Lawatan berlangsung selama 4 hari 3 malam bermula pada 29 April hingga 2 Mei 2016.

Secara ringkasnya, Muhammadiyah adalah gerakan Islam Indonesia yang telah ditubuhkan sejak tahun 1912 oleh Allayarham Ahmad Dahlan. Muhammadiyah memainkan peranan penting dalam institusi sosial dan pendidikan Indonesia dan sehingga kini telah berjaya menubuhkan 42 buah universiti - sebahagiannya adalah yang terbaik di Indonesia. Kejayaan gerakan Muhammadiyah adalah kerana ia merupakan gerakan berinisiatif dari akar umbi dan menggunakan pendekatan pengukuhan dari bawah ke atas disertai dengan semangat jihad yang tinggi. Semangat ini sangat wajar dicontohi jamaah dalam mengukuhkan gerakan serta menjamin kelangsungan kerja-kerja dakwah di Malaysia khususnya.

Lawatan ke Jogjakarta ini diisi dengan lawatan ke Universiti Muhammadiyah, lawatan ke Projek Perigi Tiub Dalam (Warung Air Merapi) di Dusun Ngrancah, Desa Bumiharjo, Kec Kemalang, Kab Klaten, serta kawasan-kawasan menarik sekitar Jogjakarta. Turut diadakan pada kunjungan kali ini diskusi tertutup antara Muhammadiyah-Wadah-ABIM bertajuk "Diskusi Peduli Umat- Gerakan Dakwah: Realiti & Masa Hadapan”. Pembicara-pembicaranya adalah 2 orang wakil dari Muhammadiyah, Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman (Presiden WADAH) serta Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim (Presiden ABIM).  Majlis menandatangani MOU diantara Muhammadiyah-Wadah-ABIM-PKPIM turut diadakan usai sesi diskusi.

 

25.May.2016

14 MEI 2016, Sabtu - Lawatan Kerja (LAKAR) Wadah Pusat ke Negeri-Negeri diakhiri dengan LAKAR ke Wadah Negeri Sabah dan Sarawak pada hari Sabtu yang lalu. Seramai 8 orang wakil Pusat turun ke Sabah diketuai oleh Presiden Wadah, Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman. Manakala di Sarawak, 10 orang wakil Pusat telah turun diketuai oleh Timbalan Presiden Wadah, Prof. Dato' Dr. Mohamad Redzuan Othman.

Berikut gambar-gambar sepanjang program LAKAR Borneo (Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah).

LAKAR di Wadah Sarawak

LAKAR di Wadah Sabah

 

 

25.Apr.2016

3 APRIL 2016, Ahad - Lawatan Kerja Wadah Pusat diteruskan lagi ke dua buah negeri iaitu LAKAR ke Wadah Wilayah Persekutuan dan Wadah Selangor pada Ahad yang lalu. Program LAKAR dimulakan di Wilayah Persekutuan pada sebelah pagi, bertempat di Sekolah Seri Al-Huda, Gombak. Ia kemudian disusuli dengan LAKAR ke Wadah Selangor di Anjung Rahmat, Sg. Merab pada sebelah petangnya.

LAKAR W.Persekutuan turut diserikan dengan persembahan nasyid dari pelajar Tahfiz ABIM Ampang selain kehadiran dari pimpinan Wadah Negeri dan ahli bagi kedua-dua tempat.

Moga ziarah yang dilakukan mengeratkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin serta memberi inspirasi untuk Wadah Negeri terus maju ke hadapan.

 

LAKAR ke Wadah Wilayah Persekutuan di Sekolah Rendah Islam Al-Huda, Gombak.

 

LAKAR ke Wadah Selangor di Anjung Rahmat, Sg. Merab.

 

14.Mar.2016

12 MAC 2016 - Lawatan Kerja WADAH Pusat ke WADAH Negeri (LAKAR) telah diadakan pada Sabtu lalu, 12 Mac 2016 ke dua buah negeri iaitu Negeri Sembilan dan juga Melaka. Seramai 15 orang wakil dari WADAH Pusat & SALWA serta 2 orang staf telah turun menyertai rombongan pada kali ini. Turut serta adalah Presiden WADAH, Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman dan Timbalan Presiden WADAH, Prof. Dato' Dr. Mohammad Redzuan Othman. 

Program LAKAR ini diadakan bagi mengeratkan silaturrahmi antara pimpinan WADAH Pusat dan WADAH Negeri di samping berkongsi perkembangan WADAH Pusat-Negeri secara terus.

LAKAR WADAH Pusat akan diteruskan ke negeri-negeri yang lain selepas ini. Moga lawatan yang dilakukan dapat menyuntik semangat pimpinan Negeri serta menyumbang pada perkembangan positif bagi WADAH seluruhnya.

 

08.Mar.2016

ANJUNG RAHMAT, Sg. Merab - Pada 6 Mac 2016 (Ahad) yang lalu, Pusat Infaq Wadah (PIW) telah mengadakan taklimat ringkas berkaitan peranannya di dalam Wadah. Taklimat ini juga turut menerangkan tentang kepentingan dan pengagihan PIW bagi tahun 2015, tanggungjawab agen zakat di dalam PIW serta kelebihan yang akan diperoleh melalui keterlibatan ahli jemaah sebagai agen. Taklimat telah disampaikan oleh Hj. Kamin Samadi, Setiausaha Kewangan Wadah merangkap Setiausaha Kewangan PIW dan dihadiri oleh wakil-wakil dari Wadah, ABIM, PKPIM yang berminat menjadi agen. Turut hadir sama dalam taklimat ini ialah Naib Presiden Wadah, Tn. Hj. Yunus b. Aminuddin serta Setiausaha Agung Wadah, En. Mohd Halimi Abdul Hamid. Diakhir taklimat, Tn. Hj. Yunus Aminuddin telah menyampaikan kit agen zakat kepada individu jemaah yang berminat menjadi agen zakat PIW sebagai simbolik penyerahan tugas. 

Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi agen zakat PIW atau ingin menyalurkan zakat melalui PIW, bolehlah berhubung terus dengan saudara Saifullah, Penolong Eksekutif PIW di talian 03-8920 2141 (Wadah Pusat) atau emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Moga hasil kutipan zakat yang diperoleh dapat diagih kepada asnaf-asnaf yang memerlukan sekaligus dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.

03.Mar.2016

SG. MERAB, 27 Februari - Bengkel Hala Tuju ICT WAP & Agensi telah diadakan bertempat di Anjung Rahmat, Pusat Dakwah dan Tarbiah Wadah, Sg. Merab. Bengkel ini telah disertai oleh hampir 40 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Agensi serta pegawai ICT bagi agensi-agensi yang terlibat. Bengkel dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengerusi Kluster ICT WADAH, Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir yang turut bertindak selaku Penasihat bagi bengkel ini. Turut hadir bersama ialah Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden WADAH yang telah sudi menyampaikan ucaptama dengan tajuk "Memberdaya Jemaah WAP melalui ICT" sekaligus merasmikan bengkel yang julung-julung kali diadakan ini.

Objektif utama diadakan Bengkel Hala Tuju ICT ini adalah untuk:

1. Merumuskan hala tuju ICT Jemaah WAP

2. Menentukan agenda fokus ICT Jemaah WAP

3. Merangka pelan tindakan ICT Jemaah WAP

Tn. Hj. Samsuddin Zainal, Pengarah bengkel, meneruskan acara dengan sesi taklimat program dan taaruf. Setelah rehat untuk minum pagi, program diteruskan dengan sesi pembentangan isu ICT Jemaah WAP bagi 4 aspek iaitu Pendidikan, Kemanusiaan, Perniagaan dan Pengurusan Jemaah. Sesi pembentangan ini telah disampaikan oleh 4 pakar bagi aspek tersebut iaitu Dr.Ab Rahman Kurais (Pendidikan), Ahmad Fahmi b. Samsudin (Kemanusiaan), Prof. Dr. Mohamad Fauzan b. Hj Noordin (Perniagaan) serta Hj. Naharuddin Abdullah (Pengurusan Jemaah).

Sesi 'brainstorm' dan perbincangan dalam kumpulan turut diadakan mengikut 4 aspek tersebut bagi mengetahui masalah, kekangan dan kekurangan ICT yang dihadapi oleh rangkaian jemaah. Bengkel ini diakhiri dengan pembentangan daripada 4 kumpulan tersebut mengenai Rumusan Hala Tuju dan Pelan Tindakan ICT Jemaah WAP. Penasihat program, Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir dalam ucapan penutup beliau mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang turut serta dalam bengkel perbincangan ini. Beliau turut menyatakan hasrat agar bengkel ini dapat diteruskan untuk masa hadapan bagi meningkatkan mutu pengurusan serta penyampaian ICT dalam jemaah agar segala maklumat dan pengurusan data jemaah dapat disampaikan dengan lebih efektif dan diurus dengan teratur.

Bengkel ini diakhiri dengan minum petang dan solat Asar bersama.

01.Feb.2016

SG. MERAB - Majlis yang telah berlangsung pada 24 Januari 2016, Ahad ini telah dihadiri oleh ahli Wadah-ABIM-PKPIM, para penyumbang PDTW, agensi-agensi, ketua kampung, nazir surau serta penduduk sekitar Desa Makmur, Sg. Merab. Bangunan Anjung Rahmat ini telah dirasmikan oleh Dato' Dr. Siddiq Fadzil selaku Ketua Istisyari Wadah diiringi pewakaf tanah, Pn. Shaharah dan Hj. Yusof Hassan serta Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman (Presiden Wadah), Dr. Ab Halim Muhammad (Pengerusi JK Pembangunan Wadah) dan Exco WAP yang lain. 

Sebagai simbolik perasmian, dokumen berkaitan proses pembangunan AR dari awal perbincangan hinggalah siap terbinanya bangunan, diserahkan oleh Dr. Ab Halim Muhammad kepada Presiden Wadah, Tn. Hj. Azam. Dato' Dr. Siddiq Fadzil pula turut menanam sepohon pokok yang dinamakan atas nama beliau setelah sesi potong riben selesai. Majlis diteruskan dengan jamuan ringan. Pameran dari WAP serta agensi-agensi ABIM, pemeriksaan kesihatan percuma dari Hospital Al-Islam serta jualan buku turut diadakan pada hari tersebut.

Pada malam 23 Januari, satu usrah umum turut diadakan di Anjung Rahmat anjuran Wadah Selangor Selatan bersempena dengan perasmian AR. Usrah umum bertajuk 'Isu Semasa dan Peranan Wadah' ini telah disampaikan oleh Prof. Dato' Dr. Mohammad Redzuan Othman, Timbalan Presiden Wadah.

Anjung Rahmat (AR) yang telah dibangunkan sejak April 2014 yang lalu, kini telah mula beroperasi dengan menjadi tempat bagi pelbagai aktiviti dan program seperti usrah, induksi, mesyuarat, bual bicara dan sebagainya. Kemudahan inap desa yang turut disediakan menjadi antara faktor Anjung menjadi pilihan pelbagai program yang memerlukan peserta bermalam. 

Bagi yang ingin menggunakan khidmat kemudahan dan inap desa Anjung Rahmat , boleh berurusan terus dengan saudara Khairul Fahmi Helmi (013 716 7036) / Haziq Halimi (011 2351 5340) / 03-8920 2142 (Wadah Pusat) atau emel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.  untuk tempahan.

01.Feb.2016


26 Disember, SG. MERAB - Tamrin Kepimpinan SALWA Kebangsaan telah diadakan pada 25-26 Disember 2015 yang lalu bertempat di Anjung Rahmat, Pusat Dakwah dan Tarbiah Wadah, Sg. Merab Luar. Program ini telah dihadiri oleh kira-kira 80 orang peserta dari kalangan pimpinan SALWA seluruh negara, serta beberapa wakil HELWA dan HEWI Pusat.

Tamrin yang berlangsung selama 2 hari ini membawa tema " Menyahut Cabaran Dakwah Kontemporari" dirangka sebagai medium memberdayakan kemampuan wanita lantas mewujudkan resolusi dalam pembinaan masyarakat. Objektif utama tamrin adalah:

1. Memugar semangat juang pimpinan SALWA dalam mendepani cabaran dakwah kontemporari.

2. Meningkatkan kesedaran sosio-budaya-politik dan ehwal semasa dalam kalangan SALWA.

3. Mencerdaskan daya pemikiran pimpinan SALWA untuk merangsang kejayaan umat.

4. Memperkukuhkan kembali jalinan ukhuwah para pimpinan SALWA di semua peringkat ; Pusat, Negeri dan Daerah.

5. Menjadi medan bagi melicinkan mekanisme penyaluran maklumat dan gerak kerja SALWA di semua peringkat.

Pada hari pertama, pelbagai sesi diskusi telah diadakan dimulai dengan ucaptama dari Dato' Dr. Siddiq Fadzil bertajuk " Cabaran Dakwah Kontemporari: Peranan pimpinan SALWA" sekaligus merasmikan tamrin ini. Seterusnya bicara disampaikan oleh Ketua SALWA Pusat, Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir bertajuk "SALWA - Harapan dan Realiti" serta rakaman amanat daripada Presiden WADAH, Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman yang tidak dapat hadir kerana menunaikan umrah. Pada sesi petang, bicara bertajuk "Realiti Dakwah & Globalisasi: Perspektif Gen XYZ" telah disampaikan oleh 3 orang panelis iaitu En. Mohammad Raimi bin Abd Rahim (Presiden ABIM), Pn. Fadhlina Sidek (Naib Presiden HELWA/ Peguam Syar'ie) serta En. Ahmad Fakhri bin Hamzah (Jurulatih bertauliah). Bagi sesi malam, bicara diteruskan dengan tajuk "Memberdayakan SALWA: Langkah-langkah Masa Depan" dengan 3 panelis iaitu Dr. Norsalimah Abu Mansor (Timb. Ketua SALWA Terengganu), Ustazah Nordiran Idris (Pengurus Besar bayt ar-Rahmah) serta Ustazah Kalsom Awang (Ketua SALWA Perak).

Hari kedua tamrin diteruskan dengan bengkel pelan agenda bertindak mengikut negeri masing-masing. Turut hadir bersama, Hj. Yunus Aminuddin (Naib Presiden Wadah, Pengerusi MAKTAB) dan Hj. Kamin Samadi (SUK Wadah) di mana masing-masing membentangkan tentang Tarbiyah dan Kaderisasi serta taklimat berkaitan Pusat Infaq Wadah (PIW).

 

 

  • Terkini
  • Popular
  • 14 Februari 2018, KAJANG - Pertemuan mesra…
  • PENGENALAN Pusat Infaq WADAH (PIW) telah ditubuhkan…
  • Photo: Dailynews via Reuters In response to…
  • IT IS TIME TO LIBERATE AL QUDS…
  • Resolusi Seminar Politik Islam dan Demokrasi Ijtimak…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map