Kenyataan Media

RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN 2011

Print PDF

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA

Pernyataan Sikap


RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN 2011

Satu langkah ke hadapan, tiga langkah ke belakang.

 

(Versi pdf boleh di muat turun di sini)

Hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang bergerak menerima ciri-ciri masyarakat madani (civil society) dengan menjunjung hak-hak asasi dan prinsip-prinsip demokrasi, tampaknya tidak kesampaian - sekurang-kurangnya buat masa ini. Pengumuman kandungan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, yang dibentangkan di parlimen baru-baru ini dan bakal dibahaskan pada hari Selasa akan datang (29 november 2011) membuktikan bahawa apa yang disebut sebagai satu langkah bersejarah itu, mungkin berakhir dengan bertambahnya kekecewaan rakyat terhadap sikap represif pemerintah. Langkah yang diwar-war sebagai tanda sikap terbuka pemerintah ke arah perluasan ruang demokrasi, ternyata hanyalah satu helah untuk menambah kekangan ke atas hak demokratik rakyat dengan memperketat dan mempersulitkan hak untuk berhimpun secara aman.

Kebebasan berhimpun secara aman (freedom of assembly) adalah hak rakyat untuk berkumpul. Kebebasan ini berkait rapat dengan hak kebebasan bersuara bagi membolehkan rakyat menyatakan keprihatinan mereka terhadap sesuatu isu yang mempunyai kepentingan bersama. Kebebasan berkumpul secara aman diperakui sebagai salah satu asas kebebasan (fundamental rights) yang mencirikan masyarakat demokratik yang sebenar.

Islam menjadikan tanggungjawab menyuarakan pandangan dan membantah sesuatu yang nyata munkar sebagai tanggungjawab keagamaan. Agama mempertanggungjawabkan mereka yang sadar dan mempunyai kuasa untuk menggunakan kuasanya bagi membenteras kemunkaran dan menukarnya kepada kemakrufan. Namun bagi mereka yang tidak mempunyai wibawa dan kuasa, kuasa lisan mestilah digunakan bagi memberi kesan kepada perubahan yang diharapkan. Al-taghyir bi al-lisan (mengubah kemunkaran dengan ekspresi lisan) akan lebih berkesan sekiranya dibuat secara kolektif melalui perhimpunan dan perkumpulan. Dengan demikian hak berkumpul secara aman bagi menyatakan bantahan, pendirian dan pandangan atau membuat tuntutan adalah juga hak yang mempunyai nilai dan justifikasi keagamaan. Oleh itu hak berhimpun dan hak bersuara tidak sepatutnya dibatasi dan disekat sebaliknya kemahuan seperti ini perlu dirai dan digalakkan serta wajar diberi penghargaan.

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentang di parlimen bagi mengganti Syeksen 27 akta Polis 1967, telah mencadangkan antara lain keperluan memberi notis 30 hari lebih awal, syarat tiada bantahan dari polis, tiada perhimpunan atau bantahan jalanan, tidak dibuat berdekatan premis-premis tertentu, syarat-syarat tentang usia penganjur dan peserta perhimpunan dan denda-denda yang lebih berat, menjadi rang undang-undang tersebut dibantah bukan sahaja oleh parti-parti politik, tetapi juga oleh Suhakam, Majlis Peguam Malaysia dan beberapa NGO.

Meneliti kandungan rang undang-undang tersebut ternyata cadangan dan pindaan yang dibuat menggambarkan kehendak pemerintah yang ingin terus mengongkong rakyat menerusi beberapa kekangan baru yang dikenakan ke atas hak-hak berhimpun rakyat. Ini juga menggambarkan sikap pemerintah yang memandang rakyat dengan pandangan yang penuh negatif; sebagai kelompok yang jahil, tidak bertamadun, mempunyai tendensi keganasan dan tidak boleh dipercayai (cannot be trusted), sehingga ‘bahasa yang sesuai untuk mereka’ ialah peraturan yang lebih ketat dan hukuman yang lebih berat. Selagi pemerintah tidak memiliki 'sense of humility' dan enggan menganggap rakyat sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation building), selagi itulah hubungan pemerintah-rakyat sentiasa tegang, mengakibatkan terbantutnya sebarang usaha membina negara dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Tidak ada maknanya kita memanggil pindaan ini sebagai ‘revolutionary’ dan ‘a giant leap’ kalau pindaan yang dibuat menjadikannya lebih represif dengan kongkongan yang meningkat, kawalan yang lebih ketat dan dengan prosedur yang lebih sulit dan menyusahkan, apatah lagi apabila pindaan ini berlawanan dengan maksud kebebasan dasar (fundamental liberties) dan bertentangan pula dengan semangat perlembagaan.

Sehubungan dengan itu, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) berpandangan bahawa tiada pilihan yang boleh dibuat oleh kerajaan, kecuali menarik balik rang undang-undang tersebut atau menggugur semua fasal-fasal yang nyata bertentangan dengan semangat demokrasi dan perlembagaan negara dan memindanya supaya lebih realistik, demokratis, prihatin terhadap kebebasan rakyat serta menggambarkan sebuah masyarakat madani dan negara yang bertamaddun.

 

Ab Halim Ismail

Setiausaha Agung

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA

30 Zul-HijjH 1433/ 26 November 2011.

 

 

ISU QADHAF: PENEGASAN KEMBALI

Print PDF

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA

Kenyatan Media

PENDIRIAN

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH)

TERHADAP ISU QAZAF DAN TUDUHAN LIWAT DAN ZINA TERHADAP DS ANWAR IBRAHIM


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengeluarkan Pernyataan Bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengenai isu yang sama dengan tajuk Pernyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qazaf, pada 27 Mac 2011 (sila rujuk Kenyataan Media di sini

Sebagai reaksi kepada beberapa persoalan yang berbangkit serta kekeliruan-kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ekoran kenyataan-kenyataan beberapa orang mantan pimpinan ABIM mengenai isu tuduhan tuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim, maka WADAH ingin menegaskan kembali sikap dan pendirian yang telah diambil dengan merujuk kepada Pernyataan yang telah dibuat 27 Mac tersebut.

Pertama: Sikap dan pendirian mestilah berasaskan syari`at

“Sesungguhnya kembali kepada syari`at  adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat.   Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya,  "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu,  maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.  Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."  (Al-Nisa':59).   Apakah yang sebenarnya  dicari oleh pendakwa dan penuduh?  Andainya yang dicari adalah keadilan,  bukankah ia wujud dalam  hukum syari`at?  Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah?    Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian,  mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut.  Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman.  Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah.  Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر).”

Kedua: Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu hal-hal berkaitan dengannya diperincikan oleh syari`at.

Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami.  Mereka yang berleluasa   menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i  (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة),  di samping sanksi  sosial dan moral:  hilang kelayakan menjadi saksi (tentang  apa pun dan sampai bila pun),  dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah  al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi.    Cara pembuktiannya hanya satu:  hadirkan empat saksi,  dan tidak lain daripada itu.  Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.”

Ketiga: Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama.

Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti,  dengan niat murni semata-mata demi  amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,  yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara`  adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada  perjuangan suci   mempertahankan  maruah,  kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah.  

Keempat: Menolak gejala fasik dan pertuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim.

Selaras dengan itu seluruh umat  Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral.  Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf)  tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`:   penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam,  tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara`  seharusnya digugurkan.    Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia   yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan  al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan  Malaysia) serta yang  lain-lainnya  harus dihormati dan didukung tanpa ragu.  Fatwa-fatwa mereka cukup jelas,   tegas,  kuat, berwibawa dan meyakinkan.

Kelima: Menegaskan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat berakhlak berdasarkan syari`at.

Demi  tanggungjawab membina umat dan  masyarakat  bermaruah yang  saling hormat dan saling percaya,  setiap warga harus memiliki keberanian bersikap,  menolak  budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah.      Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar  gosip.   Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu,   iaitu dengan menolaknya  secara  jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah).

Keenam: Menasihati mereka yang terlibat dalam membuat jenayah qadhaf supaya kembali menginsafi ketelanjuran mereka dan merujuk kembali kepada amaran Allah.

Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya  menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga).  Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi  kamu  bahkan  itu  baik  bagi  kamu.    Setiap orang dari mereka akan  mendapat  balasan dari dosa yang  diperbuatnya.   Dan  barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula) - Al-Nur:11” “Sesungguhnya  orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu    (berita   bohong)  tersiar  di   kalangan   orang-orang   yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui,  sedang kamu tidak mengetahui. - Al-Nur:19”.

Sehubungan dengan ini juga, WADAH ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Prof Dato’ Dr Sidek Baba dan Dr Yusri Muhammad, termasuk yang berkaitan dengan isu ini, adalah tidak mewakili pandangan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Prof Dato’ Dr Sidek Baba ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah memegang beberapa jawatan dalam ABIM termasuk sebagai Naib Presiden. Dr Yusri Muhammad pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Beliau baru melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini selaku Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.

 

Abdul Halim Ismail

Setiausaha Agung WADAH.

23 Muharram 1433/ 19 Disember 2011

 

KENYATAAN BERSAMA ABIM-PKPIM-WADAH MENGENAI ISU PELAKSANAAN HUKUM HUDUD

Print PDF

KENYATAAN BERSAMA

ABIM-PKPIM-WADAH

MENGENAI ISU PELAKSANAAN HUKUM HUDUD

(Versi pdf boleh di muat turun di sini)

Rangkaian gerakan Islam ABIM-PKPIM-WADAH merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam menyikapi isu hudud yang kembali dipolemikkan dan dipolitikkan sebagaimana tercermin dalam kenyataan-kenyataan pelbagai pihak, termasuk yang mengeksploitasikannya dengan motif semata-mata untuk kepentingan politik sempit, juga yang menanggapinya secara dangkal, nakal dan provokatif. Isu penting dan berimplikasi besar ini seharusnya ditanggapi dan disikapi dengan rasa tanggungjawab keagamaan, amanah keilmuan, dan kesedaran kewarganegaraan sesuai dengan nilai-nilai budaya bangsa yang bertamadun dan beradab.

Bagi kaum Muslimin yang menginsafi hakikat bahawa al-Islam adalah al-din yang harus diterima secara kaffah, utuh dan menyeluruh (`aqidah dan syariatnya), pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab keagamaan. Justeru, ia adalah bahagian daripada undang-undang jenayah (al-`uqubat) yang menjadi salah satu komponen utama syari`at Islam. Demikianlah hakikatnya, pelaksanaan hukum hudud harus dilihat sebagai bahagian integral daripada proses pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) keseluruhannya, meliputi segala bidang cakupannya. Syari`at adalah cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia: hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti `ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat. Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`at harus difahami dalam pengertian luas, termasuk dimensi hukum-hakamnya, semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Malang sekali andainya pelaksanaan syari`at direduksikan menjadi hanya sekadar hukum “potong tangan” dan “rejam”.

Dalam menyikapi hukum Ilahi (termasuk hudud) umat Islam tidak mempunyai pilihan selain patuh (sami`na wa ata`na), menepati ikrar raditu bi ‘Llahi Rabban (aku redha dengan Allah sebagai Tuhan) yang berimplikasi kerelaan menerima hukum-hakam-Nya, dan pengakuan bahawa ia adalah hukum yang terbaik dan teradil. Dalam hal ini akal manusia harus tunduk kepada wahyu, menerima hukum Tuhan seadanya, bukan memandai-mandai memperlekeh dan mempersenda hukum yang telah ditanzilkan oleh Tuhan Ahkam al-hakimin sebagai hukum yang barbaric dan zalim. Manusia mukmin sebijak mana pun seharusnya menerima hakikat bahawa Tuhanlah yang Maha Tahu apa yang membawa kebaikan dan apa yang membawa keburukan (…ya`lamu al-mufsida min al-muslih). Apa yang ditentukan oleh Tuhan, itulah keadilan. Tuhan tidak berkepentingan ketika menentukan sesuatu hukum, tidak seperti manusia yang selalu membuat peraturan-peraturan yang didasari motif memelihara kepentingan diri dan kelompok.

Ternyata penerimaan terhadap syari`at (termasuk hukum hudud) sangat terkait dengan `aqidah atau iman. Justeru, memang syari`at selamanya tegak di atas asas `aqidah. Demikianlah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan, dan kerananya al-Qur’an selalu menyebut kedua-duanya dalam bentuk gandingan: iman dan amal salih (`aqidah dan syari`ah). Dengan kata lain, tidak ada syari`at tanpa `aqidah. Berasaskan premis tersebut, bagi umat Islam persoalannya bukan lagi perlu atau tidak melaksanakan hudud. Yang menjadi persoalan adalah bagaimana melaksanakannya.

Syari`at Islam adalah bersifat abadi dan universal, dan kerana itu ia sesuai dan relevan sepanjang masa dan di semua tempat, termasuk dalam masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam menolak hukum hudud. Kemajmukan adalah fenomena yang tidak asing dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam. Sejak zaman Perlembagaan Madinah fenomena kemajmukan sudahpun wujud. Penolakan atas alasan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan `aqidah kerana ia menyiratkan anggapan kelemahan hukum Allah, yang bererti juga kelemahan Allah. Seolah-olah Tuhan terlepas pandang tentang adanya kaum Muslimin di tengah masyarakat majmuk. Kemajmukan adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa sebagaimana hukum syari`at juga adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa. Faham Keesaan Allah berimplikasi bahawa segala ciptaan Allah terjalin dan terpadu dalam kesatuan tauhidik yang harmonis.

Hudud sebagai bahagian daripada syari`at adalah amanah Allah yang harus dilaksanakan dengan bijaksana (berhikmah) dan penuh tanggungjawab demi mencapai objektif keadilan Ilahi. Untuk itu proses pelaksanaan hukum hudud harus mematuhi kaedah-kaedah perubahan yang realistik dan strategik. Antara realiti yang harus diambil kira termasuklah hakikat bahawa pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia ketika ini diperjuangkan menerusi proses demokrasi, dan dalam kerangka perlembagaan negara. Selain itu ia juga diperjuangkan di tengah masyarakat majmuk, dan di tengah suasana wujudnya masalah al-ummiyyat al-diniyyah atau gejala “buta agama” yang cukup fenomenal.

Mengambil kira realiti tersebut, perjuangan melaksanakan syari`at harus didasarkan kepada fiqh al-awlawiyyat, perubahan yang menepati urutan keutamaan dengan mengenalpasti apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan. Perjuangan melaksanakan syari`at juga harus menepati kaedah dan pendekatan al-tadarruj, beransur-ansur, subtle dan gradual. Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan (hidup dalam kawalan syari`at dan hududu ‘Llah). Para penguasa perlu dipersiapkan dengan political will, tekad politik yang kental untuk melaksanakan syari`at. Rakyat massa pula harus dipersiapkan dengan ilmu, kefahaman dan kesedaran keagamaan agar siap mendukung pelaksanaan syari`at. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. Dengan demikian pelaksanaan syari`at tidak akan berupa suatu pemaksaan ke atas masyarakat yang enggan (reluctant society) kerana jahil dan keliru. Sementara itu mekanisme dan jentera pelaksananya juga harus dipersiapkan dengan tahap profesionalisme, kompetensi dan integriti yang tinggi. Tahap kemampuan yang sedemikian adalah syarat yang tidak boleh dikompromikan demi menjamin tercapainya objektif keadilan, mendidik serta menginsafkan penjenayah, dan lebih penting daripada itu dapat melindungi mangsa dan masyarakat seluruhnya. Memang demikianlah falsafah hukum dalam Islam, tidak seperti undang-undang rekaan manusia yang terkesan bersimpati kepada penjenayah sehingga mengabaikan tanggungjawab melindungi korban. Akibatnya jenayah berleluasa, sedang masyarakat hidup dalam ketakutan.

Ternyata pelaksanaan hudud sebagai bahagian daripada pelaksanaan syari`at bukan hanya urusan para fuqaha’ dan ahli undang-undang, tetapi urusan kolektif pelbagai pihak: penguasa, ahli politik, pentadbir, pendakwah, pendidik, ilmuwan, cendekiawan dan lain-lain. Para penguasa harus berusaha menggunakan kuasa mereka sejauh yang dimungkinkan oleh realiti tempat, masa dan kemampuan. Pendakwah dan pendidik harus berjihad membina generasi dan umat Muslim yang komited, berjiwa dan berfikrah Islamiah. Para ilmuwan dan cendekiawan harus berjuang membasmi kejahilan dan kekeliruan masyarakat tentang hakikat syari`at termasuk hukum hudud.

Masyarakat umumnya harus disedarkan bahawa perjuangan mendaulatkan syari`at tidak hanya sebatas melaksanakan hukum jenayah, tetapi mencakupi daerah yang lebih luas, meliputi segala usaha ke arah kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang penuh barakah, adil dan sejahtera, bermaruah dan berakhlak mulia. Segalanya diperjuangkan secara terpadu, seiring dan sehaluan. Hukuman hudud ke atas pencuri misalnya, harus dilaksanakan seiring dengan perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menegakkan prinsip keadilan sosial, pemerataan kueh negara, dan seterusnya memerangi amalan pembolotan kekayaan negara oleh kaum kroni. Dengan demikian hukuman hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan setelah mengambil kira konteks sosio-ekonominya. Andainya jenayah mencuri itu berlaku dalam keadaan kecukupan dan taraf hidup yang selayaknya (reasonable), wajarlah pelakunya dihukum hudud. Memang ia tidak layak hidup dalam masyarakat manusia yang beragama dan berbudaya.

Demikianlah hakikatnya, undang-undang jenayah Islam tidak dilaksanakan secara terpisah dari syari`at keseluruhannya. Ia selamanya terkait dan terpadu dengan komponen-komponen syari`at lainnya, termasuk komponen kerohanian seperti iman, taqwa, dan nilai-nilai akhlak mulia lainnya. Dalam masyarakat pengamal syari`at secara utuh dan terpadu seperti itu tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku. Gambaran tentang masyarakat yang penuh dengan potongan-potongan tangan yang berserakan akibat hukum hudud sebenarnya hanya imajinasi jahil dan mengada-ngada. Keadaan yang mengerikan seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pelaksanaan hukum hudud pada masa lalu. Dalam kaitan ini terdapat catatan bahawa sepanjang sejarah generasi Islam seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga pertengahan era Umawi) hukuman hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali, sementara hukuman hudud ke atas pencuri dilaksanakan hanya empat kali sepanjang tempoh yang sama (seratus tahun).

Perjuangan mendaulatkan syari`at ketika ini terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa Islam, terutama undang-undang jenayahnya telah lama dimomokkan dengan pelbagai label negatif: kejam, barbaric dan menakutkan. Dalam kaitan inilah pentingnya usaha pemulihan citra Islam sebagai agama yang ramah dan pembawa rahmah. Islam tidak datang untuk mendera, tetapi untuk menyejahterakan (aslim taslam!). Tanggapan negatif terhadap syari`at di kalangan sebahagian umat Islam dan bukan Islam harus ditangani dengan usaha pencerahan, memberikan kefahaman menerusi pendekatan dialog yang meyakinkan dan penuh hikmah. Semua pihak, terutama warga bukan Islam seharusnya bersikap terbuka dan objektif dalam memahami dan mempersepsikan Islam. Untuk itu mereka perlu mewaspadai jebakan Islamophobia yang disebarkan oleh dalang-dalang konspirasi global.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, semangat toleransi antara agama harus sentiasa dipupuk dengan menyuburkan sikap saling hormat, termasuk mengakui hak umat Islam mengamalkan agamanya (`aqidah dan syari`at Islam), sebagaimana umat Islam menghormati agama lain dan mengakui hak penganut-penganutnya mengamalkan agama masing-masing. Dalam hal ini warga bukan Islam perlu memahami bahawa hak mengamalkan agama dalam konteks umat Islam adalah meliputi pengamalan hukum-hakam agama (Islam) dalam segala bidang, termasuk bidang hukum jenayah. Justeru, pelaksanaan hukum hudud di kalangan umat Islam adalah sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri.

Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang menghina dan mempersenda agama. Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media atau pemimpin masyarakat jelas tidak membina dan tidak mendidik, juga bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa yang beradab dan bertamadun.


Sekretariat Bersama,

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).


Bangi : 05 Oktober 2011




 

PERNYATAAN SIKAP: PENDEDAHAN DAN PENYIARAN VIDEO LUCAH OLEH KUMPULAN DATUK ‘T’

Print PDF

PERNYATAAN SIKAP


PENDEDAHAN DAN PENYIARAN VIDEO LUCAH OLEH KUMPULAN DATUK ‘T’



Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sekeras-kerasnya mengecam tindakan kumpulan Datuk T (Tan Sri Abdul Rahim Tamby Cik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuaib Lazim) yang bertindak mendedahkan kepada umum rakaman video yang dikatakan melibatkan perlakuan seks oleh seorang pemimpin utama pembangkang dengan seorang wanita. Tindakan demikian jelas bukan sahaja berlawanan dengan undang-undang tetapi juga melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama dan bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu. Perbuatan mereka, yang mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang adalah perbuatan faahisyah (perbuatan keji) yang amat ditegah oleh Islam.


WADAH berpandangan bahawa tindakan mereka mendedahkan rakaman video tersebut, adalah dibuat dengan niat jahat, bermuslihat politik, bermotif membalas dendam dan bertujuan akhir ‘membunuh’ masa depan seseorang. Dari sudut Islam, jelas sekali tindakan yang diambil oleh kumpulan bertiga ‘Datuk T’ adalah perbuatan qazaf yang dikecam keras oleh Allah s.w.t.; tindakan bersifat tuduhan tanpa bukti syar’iy itu membawa implikasi yang berat kepada status akhlak para penuduh, kesaksian mereka serta hukuman-hukuman yang sepatutnya dikenakan ke atas mereka. Pihak berkuasa diseru supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang telah membelakangi undang-undang semata-mata kerana memenuhi motif dan nafsu jahat yang tersembunyi.


Hanya berasaskan sangkaan dan tanpa sebarang pengesahan pakar, video tersebut telah dipertonton kepada ramai orang, bahkan mereka telah bertindak mengaitkan rakaman perlakuan seks tersebut dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tindakan yang diambil lebih bermaksud untuk memalukan dan meruntuhkan imej beliau serta meletaknya sebagai seorang yang ‘telah dihukum bersalah’ di mata umum - sebelum sebarang proses perundangan dilaksanakan. Kami percaya ini adalah usaha yang dirancang bagi membunuh masa depan dankarier politik beliau.


Tindakan yang diambil oleh kumpulan bertiga ‘Datuk T’ adalah antara ‘serangan’ yang menggugat budaya dan tata susila masyarakat Melayu yang dikenali sebelumnya sebagai masyarakat yang bersopan dan penuh adab, saling menghormati dan memandang tinggi harga diri dan maruah manusia. Sejak tahun 1998, pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam negara, termasuk pemerintah, pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh agama, gagal memainkan peranan mereka secara berkesan bagi membendung gejala buruk dari terus berkembang. Peristiwa terbaharu menggambarkan bahawa budaya ‘faahisyah’ ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat bahkan para pendokong ‘budaya keji” ini mendapat pembelaaan pemimpin-pemimpin politik yang berkepentingan.


WADAH menyeru supaya semua pihak ‘kembali sedar’ dan bangun bersama-sama membenteras budaya busuk lagi keji ini dari terus menerus merosakkan masyarakat. Para pemimpin politik mestilah berpegang teguh kepada prinsip-prinsip demokrasi yang luhur, mengutamakan usaha membina negara dengan masyarakatnya yang berakhlak mulia, meletakkan keutamaan kepada usaha membina keharmonian hidup bersama.


Para pemimpin politik hendaklah mengelak dari perpolitikan melampau yang membenarkan fitnah, pembohongan dan penipuan serta pembunuhan karaktor (character assassination). Pemimpin dan tokoh-tokoh agama dan para cendiakawan Islam pula hendaklah meletakkan kepentingan agama di atas dari kepentingan peribadi, berlaku adil dengan memposisi diri sebagai ‘penunjuk ke jalan yang benar’ (mursyid) berperanan sebagai pusat rujukan sahih untuk masyarakat, berani menyatakan kebenaran sekalipun pahit, sentiasa akur kepada kebenaran al-Quran dan al-Sunnah dan tidak mengizinkan diri menjadi alat pemimpin-pemimpin yang jahil dan buruk akhlak. Umat Islam pula harus tampil dan secara jelas dan tegas menolak budaya buruk berupa fitnah dan pembohongan serta penyebaran riwayat aksi lucah dan cerita porno dari terus-terusan merosakkan kehidupan beradab umat Melayu; kehidupan murni yang diasaskan kepada nilai-nilai luhur berpaksikan agama Islam.


Terhadap mereka yang terlibat dengan perkara-perkara keji berupa tuduhan palsu, fitnah dan pembohongan, kita menyeru agar mereka insaf dan segera kembali ke pangkal jalan, kembali menjadi hamba-hamba Allah yang takut akan Hari Perhitungan dan Pembalasan – kerana kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh mereka akhirnya akan membinasa diri mereka sendiri.


Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri, pembesar-pembesar dari kelompok para penjahat, supaya mereka melakukan tipudaya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari diri mereka sendiri. (al-‘An’am:123).

 

AB HALIM ISMAIL

Setiausaha Agung

26 Mac 2011.

 

 

 

PERUTUSAN 'ID AL-ADHA PRESIDEN WADAH

Print PDF

`ID AL-ADHA:  MENANGKAP MESEJ PERJUANGAN IBRAHIM `A.S.


Siddiq Fadzil

Presiden

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

 

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر ولله الحمد

 

Kita mengingat  nama Ibrahim `a.s. dan keluarga  dalam selawat dan tahiyyat berkali-kali saban hari.   Tetapi mengingatnya di tengah aura `id al-adha terasa ada kelainannya,  lebih syahdu dan lebih mengharukan.  Ibrahim `a.s. adalah nama besar,  nama yang disebut dalam dua puluh lima surah al-Qur'an.  Kisah Ibrahim `a.s. memang bukan sebuah karya fiktif,  tetapi qissah Qur'aniyyah yang kerelevanannya merentas abad, melintas jagat.    Para aktivis perjuangan Islam  memaknai kisah tersebut   bukan sekadar lipur lara,   tetapi penyerlahan  legacy agung seorang Rasul pejuang kebenaran,  kisah yang membawa pesan wisdom perjuangan dan pendidikan hikmah kenabian.

Ibrahim `a.s. mewariskan sebuah model pendakwahan berasaskan dialog.  Beliau tidak berkhutbah secara monolog,  tetapi selalu mengajak khalayak untuk berdialog dan beradu argumentasi.     Dialog adalah strategi bijak untuk menggugah akal dan  merangsang orang agar berfikir.  Justeru,  hanya yang berakal dan yang berfikir yang dapat menghargai dan menilai kebenaran.   Berhujah harus selamanya dengan akal sihat dan rasional,  bukan dengan sentimen dan emosi.    Demikianlah,  kebenaran bukan untuk dipaksakan,  tetapi didakwahkan dengan hujah yang meyakinkan (iqna`) akal rasional.     Memang teras kekuatan dakwah  bukan biaya, dan bukan juga kuasa,  tetapi esensinya:  kebenaran  yang berasaskan hujah dan bukti.   Kekuatan dana, kuasa  dan lain-lainnya  bukan tidak penting,  tetapi bukan kekuatan esensi hakikinya.

Memang tidak semua orang bersedia menerima hujah dan kebenaran.  Penghalang utamanya adalah kepentingan.   Suatu yang namanya "kepentingan" itu memang dahsyat. Demi mempertahankannya hujah sekuat mana pun, dan kebenaran sejelas mana pun tidak akan diterimanya.  Demikianlah sikap kaumnya, rajanya dan malah bapanya sendiri pun.  Hujah yang kuat dan lunak tidak dapat  membangkitkan akal rasional seorang ayah yang berkepentingan sebagai seorang pengusaha industri berhala.     Demikian juga kaum bangsanya yang kalah berhujah lalu bertindak liar, cuba menghabisinya dengan melemparkannya ke dalam api yang sedang marak,  semarak kemarahan mereka, sepanas hati mereka.  Demikianlah,  kepentingan selalu menjadikan orang hilang kewarasan,  gagal melawan dengan hujah lalu mengganas, melakukan ke-brutal-an  fizikal.   Begitulah yang selalu dilakukan oleh para penguasa teror sepanjang zaman,   membunuh pencabar dan pengkritiknya.      Tetapi dalam situasi seperti itulah pula terserlahnya keunggulan Ibrahim `a.s. sebagai pahlawan dakwah yang pantang menyerah,   biar hangus menjadi arang,  biar hancur menjadi abu.   Komitmen seorang mujahid dakwah ialah mempertahankan risalah hingga ke titisan darah terakhir.   Baginya tidak ada yang lebih berharga daripada kebenaran  (al-haqq) petunjuk Tuhan.

Api yang sejatinya memang panas    --   membakar,  merentung dan menghanguskan,  tiba-tiba berubah  menjadi dingin, nyaman dan mesra terhadap   khalil al-Rahman. Api pun ikut menyayangi Ibrahim, hamba kesayangan Tuhan.    Demikian   patuhnya api terhadap pesan Ilahi  "selamatkan  Ibrahim!".    Yang  sebenarnya diselamatkan tidak hanya  batang tubuh Ibrahim,   tetapi juga risalah dan fikrah perjuangannya.  Seperti ada pesan khusus yang tersirat di balik    peristiwa mukjizat  yang mencengangkan itu:   bahawa kezaliman hingga ke puncak paling dahsyat sekalipun,  tidak akan mampu membunuh fikrah, idea dan idealisme yang benar dan murni.

Semarak takbir `id al-adha mengingatkan kita bagaimana Ibrahim `a.s. memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata.    Allah Maha Besar,  tidak ada yang lebih besar daripada Allah, Perintah-Nya dan Ajaran-Nya.    Kata dikota dengan menjunjung perintah mengorbankan putera kesayangannya Isma`il `a.s.     Demikianlah catatan  suatu pembuktian iman:    demi Tuhan,  sanggup mengorbankan yang tersayang.   Mudah-mudahan takbir kita kali ini lebih bererti.

 

الله أكبر ولله الحمد

 

 

 

PEMANSUHAN UPSR : PERNYATAAN KEPRIHATINAN WADAH, ABIM & PKPIM

Print PDF

 

12 Syawal 1431H

21 September 2010

 

YAB  Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin,

Timbalan Perdana Menteri

dan Menteri Pelajaran Malaysia

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

PEMANSUHAN UPSR-PMR:   PERNYATAAN KEPRIHATINAN

TERHADAP  ORIENTASI PENDIDIKAN NEGARA

 

Mukadimah

Terlepas dari soal setuju atau tidak, cetusan idea pemansuhan UPSR-PMR kami tanggapi sebagai isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan  rethinking,  menilai dan memikirkan semula kerelevanan sistem pelajaran kita secara menyeluruh dan mendasar.      Cadangan pemansuhan peperiksaan (UPSR-PMR) tentunya tidak hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh,  tetapi dilatari  kesedaran tentang wujudnya masalah,  bukan hanya masalah-masalah yang berbangkit dari peperiksaan  dan isu-isu yang terkait dengannya,  tetapi masalah yang lebih fundamental dan mendasar.

Pendidikan di Malaysia:  Penilaian Umum

Memang sistem pendidikan  kita  terkesan amat berorientasi peperiksaan,  dan seterusnya (hampir) memutlakkan prestasi dalam peperiksaan  sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar.        Orientasi dan persepsi  sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan esensi pendidikan sebagai proses pembinaan  insan secara utuh, bersepadu dan seimbang.     Justeru,  antara implikasi yang sangat memprihatinkan termasuklah:

 

  • Misi besar pendidikan  telah direduksi menjadi sekadar suatu siri peperiksaan yang mendera dan menegangkan.   Di situlah tercurah dan terperahnya seluruh kekuatan pendidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting kependidikan lainnya.   Dalam konteks realiti seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem kita  lebih banyak menguji daripada mendidik  (more testing than educating).
  • Akibat tumpuan semata-mata pada pencapaian prestasi dalam peperiksaan,  maka lahirlah generasi yang berprestasi (akademik)  cemerlang,  tetapi gagal menjadi manusia  berakhlak  dan berwatak mulia.
  • Demikian jadinya kepada mereka yang dianggap "berjaya",  betapa pula nasib mereka yang menjadi "korban"  peperiksaan? Tidak sedikit jumlah anak bangsa yang dihukum sabagai "gagal" dalam usia yang sedemikian muda.  Keputusan peperiksaan dianggap keputusan nasib hidup mereka.  Demikianlah,  persekolahan kita telah melahirkan generasi yang mengalami kekosongan erti hidup, pesimis dan tidak percaya diri.  Keleluasaan gejala penyakit sosial ketika ini mungkin salah satu jelmaannya.
  • Dalam orientasi yang terlalu menumpu dan mementingkan prestasi dalam peperiksaan  anak didik dibebani harapan yang seringkali tidak tertanggung,  dan dipaksa bersaing meskipun tidak mampu.  Akibatnya persekolahan kita telah mencipta generasi yang mengalami ketegangan (stress) dan sentiasa berasa terancam (rasa tidak selamat kerana sentiasa disaingi).
  • Sistem yang menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak,  sesungguhnya hanya menghargai  hasil terakhir  suatu proses pendidikan yang panjang.  Yang berharga hanya jumlah A yang terkumpul pada peperiksaan akhir,  sedang susah payah guru mengasuh dan mengasah dari hari ke hari seolah-olah tidak ada harganya.
  • Menjadikan prestasi dalam peperiksaan sebagai penentu persaingan merebut peluang pekerjaan,  selalu memacu persaingan mencapai prestasi tanpa memperhitungkan cara, etika dan aturannya.   Akibatnya peperiksaan,  di mana-mana,  selalu diwarnai  penipuan,  manipulasi dan pelbagai kecurangan lainnya.
  • Mereka yang kalah dalam persaingan,  atau yang tidak mampu bersaing, tetapi terus-menerus dipaksa bersaing  rata-rata merasakan persekolahan suatu penderaan.   Mereka selalu merasa didiskriminasikan dan tidak dihargai.   Mereka tidak senang ke sekolah,  kerana sekolah memang tidak menyenangkan.

Hakikat tersebut tidak menafikan perlunya peperiksaan pada tahap-tahap tertentu sebagai salah satu cara penilaian dalam proses pendidikan.    Yang dipermasalahkan adalah  kadar pemberatannya sehingga menjadi terlalu berorientasi peperiksaan,  dan terlalu dimutlakkan sebagai ukuran kemampuan,  walhal peperiksaan mempunyai pelbagai keterbatasan di samping selalu mengandungi unsur kemujuran.  Kerana itu kertas ini tidak bermaksud menolak peperiksaan,  tetapi menyarankan peninjauan semula dan mengemukakan  modifikasi-modifikasi seperlunya dengan  semangat korektif-reformatif     --   pembaikan sistem pendidikan secara menyeluruh, sesuai dengan keperluan kita sebagai insan, umat dan bangsa.

Tanpa ragu,  kami menyimpulkan bahawa  sistem pendidikan kita harus dibebaskan dari dominasi  orientasi peperiksaan yang keterlaluan.  Untuk itu kekerapannya harus dikurangi,  di samping peranannya sebagai ukuran kejayaan proses pendidikan harus diimbangi dengan penilaian dimensi-dimensi kependidikan lainnya    -     rohani, jasmani, intelek dan emosi.    Perlu dicatat bahawa peperiksaan tidak dapat mengukur seluruh aspek yang terliput dalam proses pendidikan.  Secara pedagogis,  peperiksaan mempunyai keterbatasaan yang sangat jelas.  Ia hanya mencakup aspek kognitif,   tidak mencakup aspek  psikomotorik, dan tidak juga aspek afektif.  Selain itu peperiksaan juga hanya dapat mengukur kompetensi pelajar dalam subjek-subjek tertentu yang diambil, dan ini  jelas mereduksi  kompetensi pelajar , mengabaikan kompentensinya dalam bidang-bidang lain yang tidak termasuk dalam subjek-subjek peperiksaan.

Untuk menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur yang dapat dipercaya,   ia tidak harus bersifat sekadar bubble test yang dangkal dan tidak substantif.  Bentuk dan pola soalan peperiksaan harus  dianjak ke arah  soalan yang bersifat   high order thinking questions,  soalan yang mencabar pemikiran,  menguji kemampuan berfikir,  dan merangsang pemikiran  analitikal, kreatif dan kritis.    Anjakan ini bererti bahawa soalan peperiksaan tidak lagi bersifat menguji hafalan dan ingatan semata-mata,  di samping ia juga tidak  dapat diteka-teka atau diramal-ramal berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lalu.    Untuk melakukan anjakan ini,   corak pengajaran dan pembelajaran perlu diorientasikan semula sesuai dengan pola dan format soalan yang sedemikian.

Orientasi peperiksaan memang memerlukan modifikasi untuk menjadikannya lebih bererti,   tetapi ia tetap tidak boleh dimutlakkan sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan muktamad.  Kerana itu modifikasi peperiksaan harus beriringan dengan sejumlah modifikasi lain yang melibatkan kandungan dan orientasi kurikulum keseluruhannya.   Dalam kaitan ini pencapaian matlamat pendidikan sebagai humanizing process harus dinilai semula.  Untuk mempastikan tercapainya objektif pengutuhan manusia,  subjek-subjek yang dapat memanusiakan manusia harus diberikan penekanan semula.  Tanpa menafikan kepentingan  sains dan matematik,   obsesi yang berlebihan terhadap subjek-subjek tersebut ternyata telah mengakibatkan peminggiran dan peremehan terhadap bidang-bidang lain yang sarat dan padat dengan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti pendidikan Islam, sejarah dan kesusasteraan.  Penyelesaian kepada persoalan ini bukan dengan mengunggulkan yang satu dan memperlekeh yang lain,  tetapi dengan pendekatan integratif   --   penyepaduan disiplin-disiplin tersebut dan perapatan jurang antara sains dengan disiplin-disiplin yang dikategorikan sebagai subjek-subjek  arts itu.

Sesuai dengan tuntutan zaman kini sebagai zaman kreasi dan inovasi,  sistem pendidikan kita (termasuk orientasi peperiksaannya) harus memberikan penekanan pada usaha pengembangan daya kreatif-inovatif anak didik.  Tanpa menafikan bidang sains juga dapat merangsang daya kreatif,  tetapi dasar meremehkan bidang ilmu kemanusiaan yang sangat kaya dengan unsur kreativiti adalah suatu kesilapan fatal.   Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa kreativiti adalah faktor penting daya maju bangsa,  khususnya dalam bidang ekonomi.   Kerana itu negara-negara maju umumnya sangat prihatin terhadap gejala kemorosotan daya kreativiti anak bangsa.  Dan apabila gejala ini timbul, yang pertama dilihat adalah sistem persekolahannya.     Apakah sekolah mampu menjadi lahan yang subur bagi kegiatan-kegiatan kreatif-inovatif?

Di samping banyak mencipta kejayaan di pelbagai bidang,  harus pula diakui bahawa   sistem persekolahan kita dari satu sisi dapat dinilai kurang berhasil membina generasi yang kuat dan berdikari.   Yang terhasil  rata-rata adalah  generasi yang lemah,  generasi yang meminta-minta,  generasi yang mengharap belas kasihan agar diberikan pekerjaan.   Pendidikan yang komited terhadap misi pemberdayaan (empowerment) seharusnya mampu melahirkan generasi yang berkompetensi tinggi.    Untuk itu kita memerlukan  sistem persekolahan yang berorientasi pengupayaan pelajar mencipta pekerjaan,  bukan menunggu peluang pekerjaan.

Tidak semua subjek dapat dinilai  prestasinya melalui peperiksaan formal oleh sebuah lembaga rasmi.  Harus diakui hakikat bahawa tidak siapa pun yang tahu tentang kemampuan seorang pelajar lebih daripada gurunya yang saban hari mendampinginya.  Kerana itu ruang penilaian guru (sekolah)  perlu diperluas dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.   Dalam kaitan inilah relevannya sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dipertimbangkan.  Amalan pengijazahan oleh guru dalam sistem  pengajian (Islam) tradisional sebenarnya sangat beralasan.   Bagaimanapun untuk melaksanakan kaedah penilaian ini diperlukan tingkat kejujuran dan integriti moral yang cukup tinggi.   Untuk itu diperlukan pula suatu program intensif latihan pembinaan integriti keguruan.   Dengan demikian segala penilaian dan pentaksiran akan dapat dilaksanakan berlandaskan nilai amanah dan ketaqwaan yang setinggi-tingginya.

Untuk membina generasi yang religious,  berwatak dan berakhlak mulia,  pendidikan Islam memainkan peranan yang sangat menentukan.  Kerana itu ia harus ditempatkan sebagai subjek istimewa,  bukan sekadar subjek pengetahuan,  tetapi  sebagai disiplin penghayatan.  Sesuai dengan posisi dan fungsinya yang sedemikian,  ia memerlukan cara penilaian tersendiri.   Tidak cukup dinilai dari segi kefahamannya,  tetapi juga dari segi internalisasi dan penghayatannya.

Selama ini  sistem peperiksaan kita telah melahirkan  golongan yang dianggap berprestasi akademik.   Bagaimanapun  yang lebih penting dan lebih bererti daripada prestasi ialah semangat cintakan ilmu.  Tetapi isu inilah pula yang masih menjadi tanda tanya besar.   Untuk menepati makna pendidikan sebagai proses  sosialisasi dan internalisasi nilai,  sistem pendidikan kita harus lebih memberikan penekanan pada usaha pemartabatan nilai ilmu,  pembinaan sikap menyintai ilmu, dan membangkitkan semangat ingin tahu (intellectual curiousity).

Pemansuhan jenis-jenis peperiksaan tertentu dalam sistem pendidikan kita memang ada justifikasinya.   Bagaimanapun  ada kemungkinan langkah tersebut disalaherti dan disalahgunakan untuk mengurangi komitmen  sekolah terhadap tanggungjawab pencapaian prestasi akademik.   Pemansuhan dalam konteks ini bukan tanpa alternatif.   Sistem pentaksiran alternatif  PBS itulah yang harus dilaksanakan sejaya-jayanya,  tanpa mengurangi komitmen terhadap kecemerlangan akademik.     Semangat tersirat di sebalik langkah tersebut ialah  untuk kembali ke falsafah pendidikan bersepadu dan seimbang dengan matlamat  membina insan seutuhnya  sebagaimana yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keunggulan sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya,  tetapi juga harus cukup berkesan dari segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat.   Dalam kaitan ini peranan sekolah sebagai "hujung tombak" sistem pendidikan negara dalam erti   sebagai institusi akar rumput yang sentuhannya  sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik)  harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan  misi kependidikan holistik,  menyeluruh, seimbang  dan sekaligus  bersepadu.

Pendirian Terhadap Cadangan Pemansuhan UPSR-PMR

Mengambil kira perkara-perkara di atas,  kami berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan, sementara PMR boleh dimansuhkan dengan catatan-catatan berikut:

  • Pengekalan UPSR atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi persekolahan peringkat rendah.
  • Peperiksaan UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).  Menggunakan peperiksaan sebagai asas pemilihan akan menjadikannya  tumpuan seluruh kekuatan kependidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi pendidikan lainnya.    Untuk tujuan pemilihan ke SBP harus diwujudkan mekanisme alternatif dengan mengambil kira penilaian-penilain   selain prestasi akademik.
  • UPSR harus berorientasi penilaian diagnostic dalam erti mengenalpasti titik-titik kelemahan untuk seterusnya dicari jalan mengatasinya.
  • Murid-murid yang gagal menguasai 3M/LINUS harus "ditahan" di tahap satu selama setahun untuk tujuan korektif dan pemulihan.
  • Pemansuhan PMR pula didasarkan pada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap menengah sudah memadai dengan peperiksaan SPM.
  • Dengan pemansuhan PMR harus diwujudkan pula mekanisme alternatif untuk tujuan penjurusan dengan penekanan pada potensi dan keupayaan (aptitude test).
  • Pemansuhan PMR memerlukan cara penilaian alternatif yang dalam hal ini Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan paling sesuai.   Untuk memastikan keberkesanannya PBS perlu dilaksanakan dengan prosedur yang kemas berpandukan set aturan yang terperinci dan baku.    Oleh kerana PBS akan banyak melibatkan peranan guru, maka perlu dipastikan  mereka (guru-guru) mencapai  tahap profesionalisme dan integriti yang setinggi-tingginya.   Dengan demikian penilaian mereka akan diterima umum sebagai penilaian yang berkredibiliti, berautoriti dan tidak dipertikai.

 

 

Cadangan

Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik  persoalan  UPSR-PMR, kami  ingin mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:

  • Untuk mempastikan  pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi nilai   Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan.    Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.
  • Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya,   istilah pendidikan harus  digunakan semula menggantikan istilah pelajaran yang dipakai sekarang.  Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.
  • Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang,  tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan.  Kenyataannya hari ini "tidak cukup masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek  pendidikan lainnya.   Besar kemungkinan alasan tersebut benar.   Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran,  proses pengukuhan dan interaksi guru-murid.
  • Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan keseluruhannya,  telah sampai masanya kementerian mempertimbangkan secara serius pelaksanaan sistem semester dan seterusnya pemakaian sistem penilaian CGPA dalam sistem persekolahan negara.
  • Untuk menambah keberkesanan juga langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki kadar nisbah guru-murid.  Jumlah  murid yang terlalu ramai di bawah seorang guru seperti yang berlaku ketika ini  mengakibatkan kegagalan memberikan perhatian yang secukupnya kepada murid-murid,  dan seterusnya ini membawa pelbagai masalah yang sukar diatasi.
  • Tujuan pemansuhan peperiksaan tertentu untuk mengurangi orientasi peperiksaan tidak akan tercapai sepenuhnya jika sistem  pengkelasan (grading) sekolah-sekolah yang diamalkan ketika ini tidak dirubah.  Pengkelasan sekolah berasaskan prestasi akademik/SKPM akan menjadikan orientasi peperiksaan terus menguat.
  • Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan kita.  Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi.  Kerana itu kami menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu,  tulisan jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam.  Pengajaran agama Islam menerusi tulisan rumi dikhuatiri akan mengakibatkan pendangkalan dan  penyimpangan.  Yang jelas ia adalah suatu keganjilan yang sangat menyolok.

  • Agama  seharusnya dilihat sebagai sumber kekuatan dan faktor kunci survival umat. oleh itu pendidikan keagamaan harus menekankan keberkesanannya dari segi pemberdayaan dan impak transformatifnya terhadap murid.  Sesuai dengan tuntutan zaman the age of wisdom pendidikan Islam harus mengakar pada falsafah dan prinsip pendidikan berhikmah sebagaimana yang terumus dalam pesan-pesan kependidikan Luqman al-Hakim.

  • Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat  pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO,  termasuk sistem persekolahan ABIM yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi.  Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan. 

Demikianlah pernyataan sikap dan catatan keprihatinan kami tentang beberapa aspek pendidikan negara ketika ini.  Semoga mendapat perhatian YAB Menteri.   Terima kasih.

 


Muhammad Faisal Abd Aziz                                          Muhd Razak Idris                                           Dato' Dr. Siddiq Fadzil
Presiden PKPIM                                                                Presiden ABIM                                                 Presiden Wadah

 

 

Arrest of Bangladesh Jamaat-e-Islami (BJI) Leaders

Print PDF

UNION OF NGOs OF THE ISLAMIC WORLD (UNIW)

Commission for Social, Humanitarian & Solidarity

Aras 1, Blok Persidangan Alafanda, Kompleks Anjung Rahmat

Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur, MALAYSIA

Tel: +603-6187 7020 Fax: +603-6186 6020

Email: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Website: www.futureglobalnetwork.com

 

 

PRESS STATEMENT

26 July 2010

 

 

Commission for Social, Humanitarian & Solidarity, Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) denounce the government of Bangladesh for Constitutional and Human Rights violations by imprisoning top leaders of the Bangladesh Jamaat-e-Islami (BJI) on trumped up charges and for conspiring to establish a puppet state and one party government.

The Ameer of Bangladesh Jamaat-e-Islami and former Cabinet Minister Maulana Motiur Rahman Nizami including his deputy, Maulana Delawar Hossain Sayedee and Secretary General Ali Ahsan Mohammad Mojaheed were arrested on June 29, 2010 on such a vague charge that the court immediately allowed them bail.

The government’s conspiracy and ill-intentions against BJI officials was very clear when the latter were harassed, provoked and again re-arrested on five more charges, including allegedly for resisting arrest and obstructing police functions, the following day. Among the charges filed against the BJI officials were reports of comparison allegedly made by the Ameer to Prophet Muhammad, a charge apparently concocted by reporters of the regime’s controlled media.

Another serious and vexatious charge was the alleged involvement of Jamaat-e-Islami members in the killing of a student at Radshahi University, which led to the arrests and detentions of hundreds of BJI’s top leaders and thousands of its active members throughout Bangladesh. The crackdown against BJI as an Islamic organization and political opposition is harsh and abusive of the fundamental human rights of the suspects.

Supporters and sympathizers of the BJI in the government, in media and business circles, including Opposition whips in Parliament, judges and lawyers are not spared. Thousands have reportedly been incarcerated and tortured. Opposition Dailies, TV - Radio stations and other establishments critical of the regime’s evil designs have been closed and their owners and personnel tortured and imprisoned. The government has evolved into a totalitarian state and has shed all forms of democratic governance. It has miserably failed to implement the election commitments made in December 2008 and is in no way able to do it in the foreseeable future, therefore, the fear of being defeated in the coming elections.

We call on the freedom-loving peoples of the world to institute appropriate political pressures and sanctions against the government of Bangladesh for trampling upon human rights and democracy, by stifling dissent, imprisoning and torturing all Islamic and opposition parties in its bid to establish a totalitarian communist statesubservient only to its benefactor.

 

 

AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN

Chairman

 

 

Endorsed by the following organization:-

  1. Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)
  2. Society for the Enlightenment of the Ummah Malaysia (WADAH)
  3. Global Peace Mission Malaysia GPM)
  4. National Union of Muslim Students Malaysia (PKPIM)
  5. Yayasan Takmir Pendidikan (YTP)
  6. Yayasan Pembangunan Ummah (YPU)
  7. Future Global Network Foundation (FGN)

 

 

 

UNION OF NGOs OF THE ISLAMIC WORLD

Headquater: Otakçılar Mh. Savaklar Cd. No:1, 34050, Edirnekapı - Eyüp / İstanbul
Tel: +90 212 531 52 52  Fax: +90 212 532 22 80
http://www.theunity.org/
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it