HIJRAH RANGSANGAN FIKIRAN STRATEGIK Featured
15.Oct.2015
Rate this item
(0 votes)


Oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil.
Petikan dari penulisan beliau dalam "Minda Melayu Baru", 1992: 67-71

 

Kalau mahu, Allah boleh menghijrahkan rasulNya dari Makkah ke Madinah dengan mukjizat sepenuhnya. Dengan menitahkan Buraq menerbangkan Junjungan S.A.W. (seperti dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu) secepat kilat Junjungan sudah boleh sampai ke destinasi hijrahnya dalam keadaan yang selesa dan selamat.

Tetapi yang jelas Tuhan tidak menghendakinya sedemikian. Hijrah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan faktor perlindungan Ilahi dengan ikhtiar manusiawi.

Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga jaya penuh dengan insiden-insiden yang dramatik, cemas dan mendebarkan.

Memang Rasulullah S.A.W. mendapat perlindungan Tuhan, tetapi Junjungan juga terpaksa menempuh perjalanan serba pahit dan perit. Bukannya mudah untuk lepas dari jaring-jaring maut Quraisy yang berhabis-habisan memburu Junjungan S.A.W. Demikian rapinya strategi Quraisy, namun strategi hijrah jauh lebih rapi.

Sejak mula Rasulullah S.A.W. memang sudah yakin bahawa Tuhan akan melindunginya. Meskipun demikian, Junjungan tidak pernah berasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merencanakan strategi hijrah dengan sebaik-baiknya.

Antara perencanaan penting Junjungan termasuklah:


1) Merahsiakan rencana hijrahnya: Tidak seorang pun yang tahu termasuk teman terdekatnya seperti Abu Bakar al-Siddiq hinggalah ke saat perlaksanaanya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu adalah suatu keperluan strategik. Kebocoran maklumat penting hingga diketahui oleh pihak lawan akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan.


2) Waspada dan tipu-daya: Junjungan tidak tidur di kamarnya pada malam itu. Sebaliknya, diperintahkannya Ali ibn Abi Talib mengambil tempatnya, tidur di kamar Junjungan dengan tujuan mengelirukan musuh yang menyangka Junjungan masih berada di kamarnya.Junjungan juga tidak terus berangkat ke Madinah selepas keluar dari Makkah, sebaliknya berhenti singgah di gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh itu barulah Junjungan meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan Quraisy sudah mengendur.

3) Mendapatkan maklumat terkini mengenai gerakan pihak musuh menerusi Abdullah ibn Abu Bakr yang memang ditugaskan untuk mengumpul maklumat di Makkah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Junjungan di gua Thur. Memang maklumat terkini adalah suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat penting dijual beli dengan harga yang sangat mahal. Ketika ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya strategi perisikan yang tujuannya tidak lain daripada untuk mendapatkan maklumat.


4) Memanfaatkan keahlian (kepakaran) walau daripada orang kafir sekalipun. Dalam peristiwa hijrah, Junjungan sudah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit (tidak ramai yang tahu) ke Madinah setelah Junjungan berpuas hati bahawa pemandu itu tidak akan mengkhianatinya.


Nyatalah dari fakta-fakta berkenaan hijrah bukan cuma serentetan peristiwa accidental atau peristiwa kebetulan yang terjadi dalam budaya pasif dan fatalistik.

Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang-peranangnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja berencana. Sesuatu cita-cita tidak nungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan yang pasif, tetapi harus dikerjakan dengan perancanaan yang cukup strategik. Yang dimaksudkan dengan perancanaan atau planning ialah suatu proses menentukan maklumat, menggariskan kaedah dan tindakan untuk mencapai matlamat. Yang dimaksud dengan strategi pula ialah penggabungan dan kepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.

Perencanaan juga disebut sebagai jambatan di antara masa kini dan masa hadapan, yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Ketika Tuhan memerintahkan kita agar bersiap semaksimumnya untuk menghadapi musuh dengan segala kekuatan (al-Anfal: 60), ayat tersebut dapat diertikan sebagai perintah membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan juga kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan teknologi persenjataan.

Oleh kerana ancaman yang dihadapi oleh umat Islam tidak lagi terbatas hanya dalam bidang ketenteraan, malah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya dan ekonomi, maka perintah tuhan (bersiaplah menghadapi mereka ....) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan strategik dalam bidang lain seperti kebudayaan, pendidikan, ekonomi, dan sebagainya.

Al-Quran juga menampilkan Nabi Yusuf A.S. sebagai tokoh mithali perancangan ekonomi sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Yusuf, ayat 47-49 (Yusuf berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tahun yang amat sulit, yang akan menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit) kecuali sedikit dari (bimbit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur".)

Ternyata daripada ayat itu Nabi Yusuf A.S. menyarankan suatu perancangan ekonomi pertanian untuk jangka masa empat belas tahun dengan membuat pertimbangan di antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan, dan pelaburan semula. Dengan perencanaan yang futuristic itu, krisis ekonomi yang dikhuatiri akan menimpa negara dapat dihindar.

Dalam surah Yusuf ayat 67 juga terdapat penjelasan tentang perencanaan Nabi Yaakub mengenai cara yang paling strategik untuk anak-anaknya memasuki kota iaitu dengan melalui pintu-pintu yang berlainan, tidak menumpu di satu pintu sahaja.

Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran strategik. Sehubungan itu, budaya adhoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar daripada ajaran Islam.

Memang manusia hanya merencana, Tuhan jua yang menentukan jaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya itu.

Demikianlah terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah rapi dan strategik. Tetapi ada pasukan kurang berdisiplin lalu mengabaikan perlaksanaan strategi yang telah direncanakan. Akibatnya pasukan Islam mengalami pukulan teruk. Ketika mereka mengadakan post mortem untuk mencari punca musibahnya, turunlah jawapan dari langit yang bermaksud:

(Katakan: Ia adalah akibat daripada gara-gara kita sendiri.)

Read 481 times Last modified on Thursday, 15 October 2015 03:50
  • Terkini
  • Popular
  • Memperingati 15 Julai 2016: Kemenangan Rakyat Turki…
  • ALlahu Akbar, ALlahu Akbar, ALlahu Akbar. Alhamdulillah…
  • [WADAH MEDIA STATEMENT] ISOLATING QATAR ONLY CREATES…
  • [PENYATAAN SIKAP WADAH] Pemboikotan Qatar dan Senarai…
  • 29 April 2016, Jumaat - Majlis Antarabangsa…
  • SUNGAI RAMAL- Bertempat di Dewan Syura Kolej…
  • SEPANG - Majlis minum pagi bersama Presiden…
  • GOMBAK - Tanggal 23 Ogos 2014, telah…
  • Wadah dengan kerjasama UNIW Malaysia dan Yayasan…
  • IPOH, Perak - Pada 16 Januari 2016,…

  

ALAMAT PERHUBUNGAN WADAH

Pejabat Wadah Bangi (PWB)

No 23A-2-2A, Tingkat 2,

Jalan Medan Pusat Bandar 2A,

Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi

Selangor Darul Ehsan 

(Tel) 603-8920 1769 / 8920 2142
(Fax) 603-8912 2346
(E-mail) wadahpusat@gmail.com

LOKASI PEJABAT WADAH

View Larger Map